TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Prabowo beri amaran kepada negara hina Indonesia sebab jerebu, ancam dedah syarikat terlibat kebakaran hutan

By
|
Kongsi
image

JAKARTA 23 Okt – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memberi amaran kepada negara asing yang didakwanya sering memperlekehkan Indonesia berhubung isu kebakaran hutan dan tanah yang mencetuskan pencemaran jerebu rentas sempadan.

Beliau menegaskan, kerajaan Indonesia tidak akan teragak-agak mendedahkan identiti syarikat milik negara asing sekiranya terbukti terbabit dalam kegiatan pembakaran hutan yang menjejaskan alam sekitar dan kesihatan penduduk.

Menurut laporan Kompas.com pada Khamis, Prabowo berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana syarikat yang didapati bertanggungjawab menyebabkan kebakaran hutan, termasuk menarik balik lesen operasi mereka.

"Bagi negara tertentu yang gemar menghina bangsa Indonesia, akan tiba masanya kita mendedahkan syarikat-syarikat mereka," katanya ketika Mesyuarat Kabinet Penuh di Istana Presiden, Jakarta pada Rabu.

Prabowo turut menyifatkan kebakaran hutan yang berpunca daripada kegiatan manusia sebagai satu bentuk keganasan terhadap alam sekitar dan jenayah terhadap kemanusiaan.

"Perbuatan mereka membahayakan kesihatan jutaan rakyat kita. Kita tidak boleh memandang ringan perkara ini," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian kebakaran hutan dan tanah di republik berkenaan.

Arahan tersebut membabitkan polis, pendakwa raya dan Kementerian Perhutanan dengan kerjasama tentera serta agensi perisikan bagi memastikan siasatan dijalankan sehingga selesai.

"Jika bukti sudah jelas, kita akan bertindak dan menarik balik semua lesen syarikat yang melanggar peraturan," katanya.

Setakat ini, polis Indonesia telah menamakan 11 syarikat sebagai suspek dalam kes kebakaran hutan dan tanah, termasuk tiga syarikat yang mempunyai pelaburan asing.

Dalam perkembangan berkaitan, kenyataan Prabowo itu dibuat ketika hubungan Indonesia dan Singapura dilaporkan tegang susulan isu pencemaran jerebu rentas sempadan.

Menteri Kanan Singapura, K Shanmugam sebelum ini menyuarakan kekecewaan terhadap kenyataan seorang pegawai Indonesia yang mendakwa republik itu turut membekalkan oksigen kepada negara jiran ketika tiada jerebu.

Menurut Shanmugam, kenyataan sedemikian tidak wajar dikeluarkan ketika masyarakat di rantau ini sedang berdepan kesan pencemaran udara akibat kebakaran hutan.

Bagaimanapun, beliau menyambut baik langkah pentadbiran Prabowo dalam menangani krisis jerebu yang turut menjejaskan negara jiran.

Sementara itu, Singapura telah mengeluarkan surat pemberitahuan kepada tujuh syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan kejadian kebakaran hutan di Indonesia.

Surat berkenaan dikeluarkan mengikut Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura bagi mengarahkan syarikat terbabit mengambil langkah memadam kebakaran serta mencegah kejadian sama daripada berulang.

Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) mengenal pasti syarikat terbabit berdasarkan pemantauan titik panas, pergerakan asap dan imej satelit.

Dalam pada itu, Prabowo menegaskan sebarang tindakan terhadap syarikat yang disyaki terlibat akan dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira bukti kukuh sebelum tindakan undang-undang dilaksanakan.

+ - reset