Berita Berita
Hairan kenapa sistem pengesanan dimatikan selama tiga hari 17 jam, polis sahkan kapal milik syarikat Malaysia terbabit rampasan ketamin RM785 juta
KUALA LUMPUR 24 Okt – Polis mengesahkan kapal tangki MT Global 168 yang dipintas pihak berkuasa Indonesia bersama 1.16 tan ketamin bernilai kira-kira RM785 juta adalah milik sebuah syarikat berdaftar di Malaysia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu dikenal pasti hasil semakan pihaknya terhadap pemilikan kapal berkenaan.
Menurutnya, syarikat terbabit beribu pejabat di Johor Bahru dan mempunyai dua pengarah warga tempatan masing-masing berusia lingkungan 40-an dan 50-an.
"Hasil semakan juga mendapati kedua-dua pengarah syarikat berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya di sini, hari ini.
Hussein berkata, kapal tangki berkenaan sebelum ini pernah mengemukakan permohonan untuk didaftarkan di bawah bendera Malaysia, namun proses pendaftaran itu masih belum selesai.
Justeru, kapal terbabit masih menggunakan bendera Mongolia ketika ditahan pihak berkuasa Indonesia.
Terdahulu, JSJN dilaporkan akan mendapatkan maklumat lanjut daripada Polis Republik Indonesia (POLRI) berhubung rampasan dadah berskala besar itu.
Sementara itu, laporan media Indonesia yang memetik Ketua Polis Negara Indonesia, Jeneral Suyudi Ario Seto mendedahkan kapal berkenaan memulakan pelayaran dari lokasi penyelenggaraan di Pasir Gudang, Johor pada September lalu.
Kapal itu kemudian singgah di Pelabuhan Klang untuk mendapatkan bekalan air dan bahan api sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Laut Andaman, Thailand.
Menurut Suyudi, siasatan awal pihak berkuasa Indonesia mendapati kapal terbabit dipercayai menerima muatan ketamin menerusi kaedah pemindahan barang antara kapal ketika berada di perairan Laut Andaman.
Lebih mencurigakan, kapal berkenaan turut dikesan mematikan Sistem Pengenalan Automatik (AIS) selama tiga hari 17 jam sepanjang berada di kawasan perairan tersebut.
Pada Selasa lalu, pasukan penguat kuasa Indonesia berjaya memintas MT Global 168 di perairan Tanjung Balai Asahan, Sumatera Utara sebelum mengiringinya ke Pelabuhan Belawan untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan menemukan 58 guni mengandungi 1,160 bungkusan ketamin hidroklorida dengan berat keseluruhan kira-kira 1.16 tan.
Dadah berkenaan dianggarkan bernilai 3.48 trilion rupiah atau bersamaan kira-kira RM785 juta.
Operasi itu turut membawa kepada penahanan lapan kru kapal terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan seorang warga Taiwan bagi membantu siasatan lanjut.
Berita berkaitan
October 24, 2026, 4:45 pm
Penyelia maut dirempuh kereta dipandu lelaki mabuk ketika pasang papan tanda di lebuh raya
October 24, 2026, 2:55 pm
Berkali-kali mohon bantuan kerusi roda kena 'sidai, OKU di Kelantan akhirnya dibantu Steven Sim
October 24, 2026, 2:35 pm
‘Pelajar tidak sepatutnya hidang arak’ – JPNS siasat dakwaan pada majlis makan malam
October 24, 2026, 1:35 pm
Yayasan Budimas kumpul setengah juta ringgit, beri sinar buat lebih 50,000 kanak-kanak setiap tahun
October 24, 2026, 11:13 am
Kapal tangki milik syarikat Malaysia ditahan, 1.16 tan ketamin dirampas
October 23, 2026, 10:44 pm
15 tahun tunggu 'flyover', penduduk Alam Budiman bawa enam kubur tepi jalan simbolik tuntut penyelesaian
October 23, 2026, 10:23 pm
