Berita Berita
Penyelia maut dirempuh kereta dipandu lelaki mabuk ketika pasang papan tanda di lebuh raya
KUALA LUMPUR 24 Okt – Seorang penyelia berusia 28 tahun maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika menjalankan kerja pemasangan papan tanda amaran di Lebuh Raya Sultan Iskandar, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, seorang lagi pekerja lelaki berusia 49 tahun turut cedera di kepala dan tangan kanan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kiri jalan.
Menurutnya, ketika kejadian, lima pekerja termasuk seorang penyelia, pemandu lori dan tiga warga Bangladesh sedang menjalankan kerja pemasangan papan tanda amaran di bawah kontrak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar dua pekerja yang berada di lorong kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kemalangan itu pada pukul 5.08 pagi.
Mangsa berusia 28 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan, manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bagaimanapun, ujian saringan pernafasan alkohol yang dijalankan terhadap pemandu berkenaan merekodkan bacaan 64 miligram bagi setiap 100 mililiter darah.
“Pemandu telah ditahan dan direman selama tiga hari hingga 26 Oktober bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1)(b) dan Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Berita berkaitan
October 24, 2026, 2:55 pm
Berkali-kali mohon bantuan kerusi roda kena 'sidai, OKU di Kelantan akhirnya dibantu Steven Sim
October 24, 2026, 2:35 pm
‘Pelajar tidak sepatutnya hidang arak’ – JPNS siasat dakwaan pada majlis makan malam
October 24, 2026, 1:35 pm
Yayasan Budimas kumpul setengah juta ringgit, beri sinar buat lebih 50,000 kanak-kanak setiap tahun
October 24, 2026, 11:13 am
Kapal tangki milik syarikat Malaysia ditahan, 1.16 tan ketamin dirampas
October 23, 2026, 10:44 pm
15 tahun tunggu 'flyover', penduduk Alam Budiman bawa enam kubur tepi jalan simbolik tuntut penyelesaian
October 23, 2026, 10:23 pm
