Berita Berita
'Jangan pukul rata semua kuil' - Malaysia Hindu Sangam kecam premis kuil dijadikan tempat simpan dadah, gesa tindakan tegas
KUALA LUMPUR 24 Okt – Malaysia Hindu Sangam (MHS) menegaskan sebarang kegiatan jenayah termasuk penyimpanan dan pengedaran dadah tidak boleh sama sekali dilakukan di rumah ibadat kerana bertentangan dengan nilai agama serta kesuciannya.
Presidennya, Sri Kasi Sangapooshan Thanga Ganesan berkata, pihaknya mengecam penyalahgunaan sebuah premis yang dikatakan kuil Hindu di Klang, susulan penemuan dadah dalam serbuan polis baru-baru ini.
“Aktiviti sedemikian jelas bertentangan dengan nilai agama, moral dan kerohanian yang dijunjung agama Hindu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, MHS menyokong penuh usaha pihak polis membanteras kegiatan pengedaran dadah dan menggesa siasatan dijalankan secara menyeluruh serta adil tanpa memihak kepada mana-mana pihak.
“Mana-mana individu yang didapati bertanggungjawab hendaklah berdepan tindakan undang-undang sepenuhnya, tanpa mengira agama, kedudukan atau latar belakang.
“Bagaimanapun, dakwaan perbuatan jenayah oleh individu tidak seharusnya digeneralisasikan atau dikaitkan dengan kuil Hindu mahupun masyarakat Hindu secara keseluruhan di Malaysia,” katanya.
Thanga Ganesan turut menegaskan bahawa isu status pendaftaran dan pemilikan tanah premis berkenaan perlu dilihat secara berasingan daripada siasatan jenayah yang sedang dijalankan.
“Persoalan berkaitan pendaftaran, penubuhan atau status tanah rumah ibadat merupakan perkara pentadbiran dan perundangan yang berasingan serta perlu ditangani melalui proses sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua jawatankuasa pengurusan kuil Hindu supaya memastikan pentadbiran rumah ibadat masing-masing dilaksanakan secara teratur dan bertanggungjawab.
Katanya, aspek akauntabiliti serta pemantauan terhadap premis perlu diberi perhatian bagi memastikan kesucian dan integriti institusi keagamaan sentiasa terpelihara.
Terdahulu, pada 23 Oktober, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar memaklumkan sebuah bilik stor di sebuah kuil tidak berdaftar di Klang Selatan diserbu dalam operasi membanteras sindiket dadah.
Seorang lelaki yang bekerja secara sambilan membantu pengurusan kuil berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Kami masih menyiasat sama ada kuil itu digunakan sebagai tempat berselindung untuk menyimpan dadah, memandangkan pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan tidak berdaftar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Jumaat lalu.
Berita berkaitan
October 24, 2026, 4:45 pm
Penyelia maut dirempuh kereta dipandu lelaki mabuk ketika pasang papan tanda di lebuh raya
October 24, 2026, 2:55 pm
Berkali-kali mohon bantuan kerusi roda kena 'sidai, OKU di Kelantan akhirnya dibantu Steven Sim
October 24, 2026, 2:35 pm
‘Pelajar tidak sepatutnya hidang arak’ – JPNS siasat dakwaan pada majlis makan malam
October 24, 2026, 1:35 pm
Yayasan Budimas kumpul setengah juta ringgit, beri sinar buat lebih 50,000 kanak-kanak setiap tahun
October 24, 2026, 11:13 am
Kapal tangki milik syarikat Malaysia ditahan, 1.16 tan ketamin dirampas
October 23, 2026, 10:44 pm
15 tahun tunggu 'flyover', penduduk Alam Budiman bawa enam kubur tepi jalan simbolik tuntut penyelesaian
October 23, 2026, 10:23 pm
