Berita Berita
Pengusaha tomyam dakwa orang 'local' lebih suka buang masa merempit, terpaksa ambil warga asing kerja
KUALA LUMPUR 26 Okt – Kesukaran mendapatkan pekerja tempatan yang sanggup bekerja di restoran menyebabkan seorang pengusaha kedai tomyam di Jalan Ipoh, di sini, mengambil pekerja warga asing meskipun berdepan masalah mendapatkan permit sah.
Pengusaha berusia lingkungan 40-an itu mendakwa, kebanyakan pekerja tempatan yang pernah diambil bekerja tidak mampu bertahan lama, malah ada yang berhenti selepas hanya dua atau tiga hari.
Menurut lelaki yang enggan dikenali itu, pelbagai usaha dilakukan untuk menarik minat rakyat tempatan termasuk menawarkan pendapatan bulanan melebihi RM2,000 serta menyediakan makan dan minum secara percuma.
Bagaimanapun, katanya, tawaran berkenaan masih gagal menarik minat ramai pekerja tempatan, manakala hanya seorang atau dua yang benar-benar boleh diharapkan.
"Itu sebab saya terpaksa ambil pekerja asing. Budak-budak kita saya offer (tawar) gaji RM70 sehari siap makan, minum mereka tak nak. Sabtu, Ahad, nak cuti, kita kedai makan mana boleh macam itu.
"Ada yang kerja sekejap dua, tiga hari hilang tak tahan. Mereka lebih suka buang masa pergi merempit daripada bekerja," katanya ketika ditemui di sini, awal pagi hari ini.
Lelaki itu berkata demikian selepas restoran miliknya diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam operasi yang dijalankan lewat malam tadi.
Menurutnya, dia kini sedang berusaha mendapatkan permit sah bagi pekerja warga asing yang diambil bekerja, namun berdepan kesukaran memperoleh kuota daripada agensi berkaitan.
Terdahulu, suasana di restoran berkenaan bertukar kecoh apabila sekumpulan pegawai imigresen yang menyamar sebagai pelanggan secara tiba-tiba melakukan serbuan.
Beberapa pekerja warga asing dilaporkan cuba melarikan diri bagi mengelakkan pemeriksaan dan penahanan.
Bagaimanapun, cubaan mereka gagal apabila anggota penguat kuasa lain sudah ditempatkan di sekitar kawasan premis berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau berkata, seramai 41 pegawai dan anggota digerakkan dalam operasi berkenaan susulan aduan awam serta pemantauan pihaknya di kawasan terbabit.
Menurutnya, pemeriksaan dijalankan terhadap 30 individu terdiri daripada warga tempatan dan asing, dengan 11 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan imigresen.
"Keseluruhan 30 warga asing dan tempatan diperiksa dalam serbuan itu yang mana 11 daripadanya ditahan mengikut Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita Indonesia, dua lelaki Pakistan dan masing-masing seorang lelaki Bangladesh serta Thailand," katanya.
Hamsha berkata, semua tahanan dibawa ke Depot Tahanan Bukit Jalil untuk tindakan lanjut.
Sumber: Harian Metro
Berita berkaitan
October 26, 2026, 11:36 pm
Kudrat 1968: High Council bukan galak budaya buli, setiap keganasan ada balasan' – Pengarah
October 26, 2026, 10:06 pm
‘UNHCR gagal’ – Kerajaan kaji semula kehadiran UNHCR dalam isu Rohingya
October 26, 2026, 7:20 pm
Pesara kerajaan 72 tahun didakwa cabul dua budak perempuan 10 dan 11 tahun
October 26, 2026, 3:32 pm
Bantuan khas RM1,000 pemandu teksi meliputi seluruh negara, bukan Melaka sahaja
October 26, 2026, 3:12 pm
Pramugara didakwa memandu mabuk hingga ragut nyawa pekerja penyelenggaraan
October 26, 2026, 3:09 pm
Syarat simpanan minimum RM15,000 Tabung Haji berjaya kurangkan penangguhan giliran haji
October 26, 2026, 3:04 pm
Ahmad Samsuri belum fikir soal calon PM, keutamaan PN fokus menang PRU16
October 26, 2026, 1:47 pm
