TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kudrat 1968: High Council bukan galak budaya buli, setiap keganasan ada balasan' – Pengarah

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 26 Okt – Pengarah filem Kudrat 1968: High Council, Zulaikha Zakaria menegaskan karya terbaharunya bukan bertujuan mempromosikan budaya buli, sebaliknya mahu membuka mata penonton mengenai kesan buruk perbuatan tersebut serta penyalahgunaan kuasa.

Menurut Zulaikha, walaupun filem berkenaan memaparkan beberapa babak keganasan yang menyerupai realiti kehidupan di sekolah, setiap tindakan watak yang terlibat mempunyai akibat dan pengajaran tersendiri.

Katanya, isu buli sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada francais High Council sejak kemunculan siri Projek: High Council kerana jalan cerita dan visual yang dipaparkan sering dikaitkan dengan kejadian buli dalam kalangan pelajar.

“Bagi saya dari awal lagi pembikinan High Council sehingga siri ini (Kudrat 1968), isu buli di sekolah masih dikaitkan dengan naskhah High Council.

“Secara visual ia sangat dekat dengan apa yang terjadi (buli), tapi bezanya dalam filem ini walaupun ada babak-babak keganasan saya akan pastikan watak-watak tersebut ada balasannya (pengajaran).

“Disebabkan siri ini dari drama ke filem, jadi penonton akan lihat pengajaran yang didapati daripada setiap tindakan membuli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana Kudrat 1968: High Council di TGV KLCC, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zulaikha menjelaskan bahawa kesan perbuatan negatif turut diketengahkan menerusi perkembangan karakter dalam filem tersebut, termasuk perubahan individu yang pada asalnya berperwatakan baik menjadi seorang yang kasar.

Menurutnya, jalan cerita itu juga memperlihatkan bagaimana hierarki sosial dan kedudukan kuasa boleh mempengaruhi tindakan serta hubungan antara individu.

“Setiap watak yang jahat itu impaknya sangat besar. Penonton boleh lihat apa yang terjadi dengan watak Pa. Malah daripada karakter baik boleh menjadi kasar.

“Di sini saya mahu menegaskan bahawa walaupun naskhah ini ada menunjukkan tentang gejala buli, tapi cerita High Council, Kahar dan Kudrat ada tema dan topik yang bukan menggalakkan buli.

“Buli bukan hanya berlaku di sekolah, tapi fasal hierarki. Kedudukan orang ternama, berkuasa dan orang bawahan… Banyak topik sebenarnya yang mahu saya ketengahkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zulaikha turut meluahkan rasa syukur atas sambutan dan penerimaan positif penonton terhadap Kudrat 1968: High Council serta siri terdahulu.

Katanya, maklum balas daripada peminat, khususnya pengguna platform Threads, memberikan motivasi kepada pasukan produksi untuk terus meningkatkan kualiti karya pada masa hadapan.

“Saya sangat bersyukur dengan penerimaan penonton terhadap Kudrat dan siri High Council ini.

“Alhamdulillah persepsi yang diterima juga sangat positif. Betul, ramai yang beri maklum balas terutamanya netizen di Threads.

“Saya rasa ini hanyalah satu permulaan. Mungkin ada kekurangan yang tak tercapai, saya percaya ia hanya membuatkan team kami dan industri filem untuk buat lebih baik,” katanya.

Terdahulu, filem berkenaan menjadi perhatian di media sosial selepas timbul dakwaan bahawa jalan ceritanya boleh menggalakkan budaya buli dalam kalangan pelajar.

Perdebatan itu turut berlaku ketika masyarakat memberi perhatian terhadap beberapa kes buli di sekolah, termasuk insiden yang mengakibatkan kematian.

Untuk rekod, Kudrat 1968: High Council merupakan prekuel kepada siri Projek: High Council yang diterbitkan pada 2023 dan filem Kahar: Kapla High Council pada 2024.

Filem berkenaan membawa penonton menyelami sejarah awal pembentukan sistem hierarki rahsia dalam kalangan pelajar.

Naskhah arahan Zulaikha bersama Khairi Asyraff itu menampilkan barisan pelakon termasuk Mierul Aiman, Zarif Ghazzi, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes dan Akmal Asyraf.

Kudrat 1968: High Council dijadualkan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 29 Oktober ini.

+ - reset