TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘UNHCR gagal’ – Kerajaan kaji semula kehadiran UNHCR dalam isu Rohingya

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 26 Okt - Kegagalan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menempatkan semula pelarian, khususnya etnik Rohingya ke negara ketiga, mendorong kerajaan mengkaji semula keperluan kehadiran agensi itu di Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keberkesanan UNHCR dalam menangani isu pelarian ketika ini dilihat semakin terbatas berbanding peranan yang pernah dimainkan agensi berkenaan ketika krisis pelarian Vietnam antara 1978 hingga 1990.

Menurutnya, hanya kira-kira 5,000 pelarian berjaya ditempatkan semula ke negara ketiga dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, malah kebanyakannya bukan dalam kalangan etnik Rohingya.

“Majoriti pelarian Rohingya adalah pemegang kad UNHCR, kita minta UNHCR menghantar mereka ke negara ketiga, tetapi UNHCR gagal.

“Oleh sebab itu, kita mengkaji semula kehadiran UNHCR di negara ini.

“Sepatutnya UNHCR memainkan peranan mereka seperti yang mereka buat semasa pelarian Vietnam pada tahun 70-an dahulu, tetapi sekarang tidak ada.

“Kadar kejayaan mereka hanya 5,000 lebih selama dua tiga tahun ini, itupun bukan pelarian Rohingya tetapi etnik lain daripada Myanmar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini, seperti dilaporkan Harian Metro.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, usaha menempatkan semula pelarian ke negara ketiga kini semakin sukar susulan tindakan beberapa negara mengetatkan dasar kemasukan warga asing dan pelarian.

Katanya, antara negara yang mengambil pendekatan lebih ketat termasuk Australia, Jerman dan Amerika Syarikat (AS), yang turut memperkenalkan dasar berkaitan anti-migran.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Malaysia perlu mengambil pendekatan lebih menyeluruh termasuk mengadakan rundingan dan libat urus secara langsung dengan kerajaan Myanmar bagi mencari penyelesaian terhadap isu pelarian yang berlarutan.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan Malaysia tidak terus menanggung beban akibat kegagalan menyelesaikan isu berkenaan.

“Ini masalahnya, kita akan terbeban. Kita perlu adakan libat urus bersama dengan kerajaan Myanmar.

“Kalau tidak mahu buat apa? Mereka lagi suka kalau kita tidak bertemu mereka.

“Mereka lagi suka jika dunia memulaukan mereka, asalkan negara-negara sahabat bersama-sama dan memberikan perlindungan. Ini yang sedang berlaku,” katanya.

 

+ - reset