TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki mengaku salah empat pertuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan

By
|
Kongsi
image

KUALA TERENGGANU, 27 Okt. – Seorang lelaki berusia 20 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan antara tahun 2023 hingga 2025.

Pengakuan berkenaan dibuat tertuduh di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli selepas kesemua pertuduhan dibacakan ke atasnya hari ini.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang berusia 12 tahun di sebuah rumah di Kampung Sura Tengah, Dungun pada Mac dan Jun 2023.

Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan sama ke atas mangsa berusia 13 tahun di lokasi sama kira-kira jam 8 pagi pada Jun 2024.

Bagi ketiga-tiga kesalahan berkenaan, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 akta sama berikutan tindakan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan menunjukkan alat sulit kepada mangsa berusia 14 tahun di rumah berkenaan pada 31 Oktober 2025.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim, dengan mahkamah menetapkan 28 Oktober bagi pembentangan fakta kes dan penjatuhan hukuman. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset