TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Konsert Wali di Kelantan belum dapat kelulusan

By
|
Kongsi
image

KOTA BHARU, 27 Okt. – Penganjuran konsert kumpulan Wali yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV pada 27 Januari 2027 disahkan belum menerima sebarang kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah memaklumkan bahawa semakan dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan Perbendaharaan Negeri Kelantan mengesahkan tiada permohonan penganjuran diterima setakat semalam.

Kenyataan berkenaan dibuat susulan penularan poster promosi bertajuk 'Wali (Semalam di Kelantan)' serta penjualan tiket secara dalam talian menerusi pautan ILASSOTICKET.COM di media sosial.

Pihak pengurusan Stadium Sultan Muhammad IV mengesahkan terdapat tempahan lokasi oleh sebuah syarikat pada tarikh berkenaan, namun tempahan tempat tidak bermaksud acara hiburan dan penjualan tiket telah mendapat kelulusan.

Hilmi mengingatkan penganjur supaya mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 2025 yang melarang sebarang pengiklanan atau penjualan tiket sebelum lesen diluluskan secara rasmi.

Kegagalan mematuhi peruntukan terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 20 enakmen berkenaan yang membawa denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun, manakala Seksyen 21 memperuntukkan denda RM5,000 atau penjara dua tahun bagi kesalahan menjual tiket tanpa kebenaran.

+ - reset