TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Fitnah Agong, Chegubard dipenjara empat bulan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 28 Okt – Bekas Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Keputusan itu dibuat Hakim Norma Ismail selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan pada akhir perbicaraan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara berkenaan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut memerintahkan jumlah jaminan Badrul dinaikkan sebanyak RM5,000, menjadikan keseluruhan jaminan yang dikenakan terhadapnya berjumlah RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Mengikut pertuduhan, Badrul yang juga Penyelaras Parti Wawasan Negara (WAWASAN) Negeri Sembilan didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah dengan mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan tersebut boleh menjejaskan nama baik Yang di-Pertuan Agong.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, kira-kira jam 6 petang pada 22 Januari 2024.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen pada 29 April 2024 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Badrul pernah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 2025.

Bagaimanapun, keputusan itu kemudian diketepikan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengarahkan kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Sesyen bagi membolehkan tertuduh membela diri.

Dengan keputusan terbaharu itu, pelaksanaan hukuman penjara empat bulan terhadap Badrul ditangguhkan sementara menunggu rayuannya diputuskan di Mahkamah Tinggi.

+ - reset