TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

‘Jangan bimbang, kita geng biru’ – Ahmad Zahid beri 'hint' kemelut kerusi MCA selesai

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 28 Okt – Kemelut pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan MCA bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat semakin reda selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa isu berkenaan sudah menemui penyelesaian.

Pengerusi BN itu meminta semua pihak supaya kekal tenang dan tidak bimbang dengan perkembangan yang berlaku dalam gabungan berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook pada Rabu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan bahawa keadaan dalam BN berada dalam keadaan baik.

"Jangan bimbang, semuanya berada dalam keadaan baik. Kita geng biru (BN)," katanya.

Hantaran itu turut disertakan gambar beliau bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Difahamkan, ketiga-tiga pemimpin berkenaan sebelum itu menghadiri pertemuan tertutup bersama Ahli Parlimen BN di bangunan Parlimen, tengah hari tadi.

Pertemuan tersebut juga difahamkan berjaya meredakan pertikaian mengenai agihan kerusi yang sebelum ini mencetuskan ketegangan antara MCA dan kepemimpinan BN.

Terdahulu, MCA dilaporkan menuntut dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tambahan, iaitu Bemban dan Kesidang untuk ditandingi pada PRN Melaka.

Pada Selasa, Ahmad Zahid mengesahkan perbincangan khas bersama kepemimpinan MCA mengenai pembahagian kerusi sudah selesai dengan perkembangan positif.

Perbincangan itu melibatkan Ka Siong, Zambry serta Pengerusi BN Melaka yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sebelum ini, MCA dilaporkan mengambil pendirian tegas untuk tidak mengiktiraf mana-mana calon parti berkenaan yang diumumkan BN tanpa mendapat persetujuan kepemimpinan tertingginya.

Ka Siong turut dilaporkan menyifatkan tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan MCA sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.

Beliau juga mendakwa terdapat kerusi yang pernah ditandingi MCA sebelum ini telah diserahkan kepada parti lain dalam gabungan BN.

Pertikaian itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan dua penyandang MCA yang diumumkan sebagai calon BN pada malam Sabtu lalu.

Mereka ialah Datuk Ngwe Hee Sem bagi kerusi DUN Machap Jaya dan Datuk Lim Ban Hong bagi DUN Klebang.

Bagaimanapun, perkembangan terbaharu yang dikongsikan Ahmad Zahid memberi gambaran bahawa hubungan antara kepemimpinan BN dan MCA kembali positif menjelang PRN Melaka.

+ - reset