TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pramugara didakwa semula atas pertuduhan membunuh pekerja penyelenggaraan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 28 Okt. – Seorang pramugara didakwa semula di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pekerja penyelenggaraan di Lebuhraya Sultan Iskandar pada minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Iman Nafiz Fong Mohd. Sabirin, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret M. S. Arunjothy, namun tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki berkenaan memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Faris Irfan Fazli, 29, di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Parlimen pada jam 4.09 pagi, 24 Oktober lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan sekurang-kurangnya 12 kali jika tidak dihukum mati.

Pada Isnin lalu, tertuduh dihadapkan ke mahkamah atas dua pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan sehingga menyebabkan kematian Faris Irfan serta mencederakan seorang lagi pekerja penyelenggaraan, Ahmad Zakiyamani Zakaria@Yusuff, 49, di lokasi yang sama.

Kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Focus Sport yang dipandu tertuduh dipercayai hilang kawalan sebelum rempuhan berlaku terhadap dua pekerja terbabit yang sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di lorong kiri lebuh raya berkenaan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd. Zamry manakala tertuduh diwakili peguam bela Mohd. Anif Rafih, dengan mahkamah menetapkan 30 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

+ - reset