TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Ganti pekerja asing baru' - Kerajaan benarkan pelarian Rohingya bekerja secara sah dengan syarat

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 28 Okt – Pelarian yang memiliki kad Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) sah akan dibenarkan bekerja dalam sektor pekerjaan formal secara bersyarat sebagai langkah mengurangkan kebergantungan negara terhadap kemasukan pekerja asing baharu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendekatan itu juga bertujuan memastikan golongan pelarian tidak terjebak dalam kegiatan ekonomi gelap atau menjadi mangsa eksploitasi sindiket.

Menurutnya, pelaksanaan dasar berkenaan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang memberi penekanan terhadap usaha mengurangkan kebergantungan ekonomi negara kepada tenaga kerja asing.

“Bagi mengelakkan pelarian terjerumus ke dalam ekonomi gelap (shadow economy) atau dieksploitasi oleh sindiket, kerajaan memberikan pemegang DPP akses bersyarat kepada sektor pekerjaan formal.

“Kebenaran bekerja ini sebagai pengganti (substitution) kepada kemasukan pekerja asing baharu dari luar negara selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) untuk mengurangi ketergantungan ekonomi negara terhadap pekerja asing.

“Selain itu, kemahiran dan pengalaman bekerja yang dimiliki oleh pemegang DPP akan membuka peluang yang lebih baik untuk mendapat penempatan ke negara ketiga melalui laluan pelengkap (complementary pathway),” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, semalam.

Bagaimanapun, Saifuddin tidak memperincikan sektor pekerjaan yang akan dibuka kepada pemegang kad berkenaan.

Beliau menjawab soalan bekas Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar berhubung kerangka strategik jangka panjang kerajaan dalam menguruskan pelarian Rohingya di Malaysia.

Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan kemudahan sosial yang disediakan kepada pemegang DPP termasuk akses kesihatan dan pendidikan tidak akan menjejaskan kemudahan yang dinikmati rakyat tempatan.

“Perlu juga ditekankan yang semua perkhidmatan sosial kepada pelarian DPP yang disediakan oleh kementerian dan agensi terlibat termasuk akses kesihatan dan pendidikan tidak akan mengambil kemudahan yang diberikan oleh Kerajaan kepada rakyat tempatan.

“Sebagai contoh, perkhidmatan kesihatan kepada pelarian DPP hanya akan diberikan secara berinsurans atau berbayar tanpa subsidi kerajaan bagi melindungi fasiliti kesihatan awam.

“Akses pendidikan dan latihan asas turut disediakan kepada kanak-kanak pelarian bagi mengelakkan mereka terdedah kepada kegiatan jenayah jalanan, eksploitasi, atau ancaman sosial tetapi melalui institusi pendidikan swasta,” katanya.

Langkah membenarkan pelarian bekerja dalam sektor formal sebelum ini beberapa kali disarankan pertubuhan hak asasi manusia dan kumpulan perniagaan.

Perkembangan itu juga berlaku ketika sentimen kebencian terhadap pelarian, khususnya etnik Rohingya, dilaporkan meningkat sejak beberapa bulan lalu susulan penyebaran maklumat palsu yang mendakwa komuniti berkenaan menuntut tanah dan hak istimewa di Malaysia.

Ketegangan tersebut turut dilaporkan berlaku di luar media sosial apabila sekumpulan pelarian Rohingya didakwa diusir penduduk tempatan dari penempatan mereka di Pulau Pinang.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan seramai 4,008 tahanan di depot imigresen dikenal pasti sebagai individu yang berpotensi diberikan perlindungan sementara di negara ini sebagai pelarian.

Bagaimanapun, kelayakan mereka masih tertakluk kepada tapisan keselamatan dan proses penentuan status pelarian yang dilaksanakan kerajaan.

Individu yang disahkan berstatus pelarian akan diberikan kad DPP yang berfungsi sebagai pas khas di bawah Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kad berkenaan merupakan satu-satunya dokumen pengenalan pelarian yang diiktiraf kerajaan bagi membolehkan mereka tinggal sementara di Malaysia sehingga penyelesaian akhir status masing-masing ditentukan.

Menurut Saifuddin, terdapat tiga kemungkinan penyelesaian bagi pemegang DPP, iaitu ditempatkan semula di negara ketiga, pulang ke negara asal apabila keadaan mengizinkan atau diusir sekiranya melakukan jenayah atau melanggar syarat pas ditetapkan.

Pergerakan pemegang DPP juga dikawal mengikut zon geografi, manakala perjalanan rentas negeri memerlukan kebenaran khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Selain perlu diperbaharui setiap tahun, kebenaran tinggal sementara melalui DPP tidak meliputi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Untuk rekod, sistem DPP yang dilancarkan pada 1 Januari lalu merupakan mekanisme pendaftaran dan pengenalan pelarian yang dikendalikan kerajaan, dengan pelaksanaan fasa pertama tertumpu kepada individu di depot tahanan imigresen.

Sebelum ini, kerajaan pernah melaksanakan projek rintis pada 2016 bagi membolehkan 300 pelarian Rohingya pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bekerja di Malaysia.

Namun, projek berkenaan dihentikan tiga tahun kemudian susulan kelemahan pelaksanaannya seperti dilaporkan dalam laporan UNHCR Malaysia pada 2019 dan ringkasan dasar Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

Antara kelemahan dikenal pasti termasuk kekurangan ketelusan, komunikasi terhad dengan komuniti pelarian serta kegagalan memadankan mereka dengan peluang pekerjaan yang bersesuaian.

Malaysia ketika ini bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mempunyai undang-undang khusus yang mengiktiraf pelarian atau menetapkan status perundangan mereka.

Sehubungan itu, pertubuhan hak asasi manusia turut membangkitkan persoalan mengenai ketidakjelasan kerangka DPP, termasuk kriteria penentuan status pelarian, hak rayuan bagi permohonan yang ditolak, perlindungan data biometrik serta risiko penahanan berpanjangan sepanjang proses pengesahan.

Pemegang kad DPP boleh bekerja, kerajaan mahu kurangkan pekerja asing baharu

Pelarian dibenar bekerja dalam sektor formal, tidak guna subsidi rakyat tempatan

Kerajaan buka peluang pekerjaan kepada pelarian, pergerakan tetap dikawal

Pelarian boleh bekerja secara sah, tetapi tidak bebas bergerak antara negeri

Kerajaan mahu pelarian ganti kemasukan pekerja asing baharu

4,008 tahanan berpotensi diiktiraf sebagai pelarian, boleh dapat kad DPP selepas tapisan

+ - reset