TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hasrat bercuti bersama anak lepas persidangan DUN tak kesampaian, ADUN Mata Ayer meninggal dunia

By
|
Kongsi
image

KANGAR 1 NOVEMBER – Hasrat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Allahyarham Wan Badariah Wan Saad untuk membawa tiga anak serta suaminya bercuti sebaik persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis selesai tidak kesampaian apabila beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini semalam.

Suami Allahyarham, Sabry Saad, 52, memaklumkan isterinya yang berusia 50 tahun itu tidak menunjukkan sebarang tanda pelik, sebaliknya sekadar bergurau serta bersembang seperti rutin harian mereka pada Jumaat lalu.

"Cuma kebelakangan ini Allahyarham kerap berbual dengan anak kedua kami, perempuan berusia 18 tahun yang belajar Asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menerusi panggilan telefon serta anak-anak (anak sulung perempuan dan anak ketiga lelaki) yang ada di sini (Perlis)," katanya.

Mengulas mengenai kronologi kesihatan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu, Sabry menjelaskan isterinya ada mengadu keletihan sejak beberapa hari lepas, namun keadaan menjadi semakin kritikal menjelang jam 9 pagi semalam sebelum dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HTF sekitar jam 10.30 pagi.

"Masa kami bawa ke HTF, isteri saya dah tak boleh bercakap. Bila sampai ke kecemasan, beliau ditidurkan, yang kemudian oksigen dan BP (tekanan darah) beliau semakin menurun, sehinggakan beberapa kali doktor lakukan CPR hingga dah tak boleh buat apa-apa, beliau meninggal dunia pada 4.26 petang tadi," jelasnya.

Tambah Sabry lagi, Allahyarham sememangnya mengidap penyakit tiroid dan sentiasa mengambil ubatan mengikut preskripsi, menyebabkan pemergian mengejut itu amat mengejutkan seluruh ahli keluarga.

"Isteri saya makan ubat sebab tiroid dan saya pun tidak sangka akan jadi begini sebab beliau tidak menunjukkan simptom yang lebih dahsyat," katanya.

Jenazah Wan Badariah dijadualkan disolatkan pada jam 11 pagi ini sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Siding, Arau.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah merakamkan ucapan takziah mewakili pihak pentadbiran negeri kepada keluarga Allahyarham serta seluruh kepimpinan Pas di atas kehilangan figura penting berkenaan.

"Bagi pihak kerajaan negeri, kami berasa kehilangan besar. Kita doakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Kita mendoakan keluarga Allahyarham bertenang dan bersabar," katanya.

Persidangan DUN Perlis bagi pembentangan Belanjawan 2027 yang dijadualkan bermula pada 27 November ini dijangka diteruskan pada 30 November sehingga 2 Disember depan.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Wan Badariah memenangi kerusi DUN Mata Ayer dengan memperoleh 4,419 undi, sekali gus menewaskan saingannya Siti Berenee Yahya daripada Barisan Nasional (2,398 undi) serta wakil Pakatan Harapan, Amran Kamaruddin (794 undi) menerusi majoriti 2,021 undi.

+ - reset