TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar seru urus dana kerajaan dengan baik, tindakan tegas jika khianati amanah

By
|
Kongsi
image

KAJANG 01 NOVEMBER - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengurusan dana kerajaan perlu dilaksanakan dengan baik dan tindakan tegas akan diambil sekiranya amanah itu dikhianati.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setiap agensi pembiayaan keusahawanan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memikul tanggungjawab yang besar bagi memastikan dana sampai kepada golongan sasaran tanpa sebarang ketirisan atau penyelewengan.

“Jaga betul-betul... ini wang amanah. Kamu langgar, kamu ditangkap dan didakwa. Ini baru boleh selamat negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Yang turut hadir Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Datuk Zainal Abidin Abd Majid.

Mengenai keupayaan fiskal negara, Perdana Menteri berkata pelbagai bantuan dan peruntukan untuk rakyat kini dapat ditingkatkan hasil daripada tatakelola pentadbiran yang cekap dan telus di bawah Kerajaan MADANI.

Anwar berkata peruntukan kebajikan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berjumlah RM16 bilion pada tahun depan serta pelarasan gaji penjawat awam sebanyak RM18 bilion yang dinikmati tahun ini dapat direalisasikan hasil usaha yang baik kerajaan ketika ini.

"Ada orang pertikai macam mana boleh peruntukan bertambah? Sebab dia tak bocor, sebab tak sakau, sebab tak rasuah...insya-Allah ada berkat dan kita tolong rakyat, itu tujuan kita," kata beliau.

Dalam pada itu, Anwar berkata Kerajaan MADANI sentiasa cakna terhadap permasalahan rakyat di seluruh negara termasuk di negeri yang ditadbir pembangkang, sekali gus menepis tohmahan kononnya wujud diskriminasi oleh kerajaan.

Beliau berkata Kerajaan MADANI komited menyelesaikan masalah rakyat tanpa mengira perbezaan fahaman politik, termasuk menyalurkan semula bantuan sagu hati kepada guru agama serta membaik pulih bangunan sekolah pondok yang terabai sejak 2003.

"Kelantan itu bukan kerajaan daripada parti yang sama, tapi masalah rakyat, ini masalah kita. Ini beza daripada apa yang kita dengar di luar kononnya ada diskriminasi, tak tolong, orang Melayu tak dapat apa.

"Bila kita ambil alih tahun 2022, kita fikir ini bukan satu sistem yang adil. Kita kata kita nak jaga rakyat, maka kita bantu," kata beliau.

Sehubungan dengan itu, Anwar mengingatkan semua pihak agar tidak mempertahankan amalan salah guna kuasa dan rasuah, sebaliknya bersama-sama membudayakan nilai adab, akhlak dan integriti demi kemakmuran negara.

“Kita diseru untuk menegakkan yang baik, menolak yang mungkar,” kata Perdana Menteri.

+ - reset