TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hujan lebat, ribut petir di beberapa negeri bermula hujung minggu ini

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 31 OKTOBER - Penduduk di beberapa negeri di kawasan Pantai Timur, Pantai Barat, dan Lembah Klang dinasihatkan agar sentiasa berwaspada susulan permulaan musim monsun yang dijangka membawa cuaca lembap serta ribut petir berterusan bermula hujung minggu ini. 

Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), kebanyakan kawasan lazimnya mengalami cuaca baik pada waktu pagi sebelum dilanda hujan lebat dan ribut petir pada sebelah petang hingga ke malam.

Di Lembah Klang dan Selangor, kawasan seperti Sabak Bernam serta Kuala Selangor diramalkan cerah pada sebelah pagi, namun berdepan ribut petir pada sebelah petang sebelum kembali reda menjelang malam.

Corak cuaca yang serupa turut melanda Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan potensi pembentukan awan ribut pada petang hari.

Beralih ke Pantai Barat Selatan, Melaka dijangka cerah pada waktu pagi sebelum ribut petir melanda kawasan pedalaman pada waktu petang dan reda pada sebelah malam, manakala Negeri Sembilan pula berdepan ribut petir di kawasan pedalaman dari petang hingga ke malam. 

Di Pantai Timur, keadaan cuaca kelihatan lebih berterusan apabila Kelantan dan Terengganu, terutamanya Kuala Terengganu, berpotensi menerima hujan seawal pagi diikuti ribut petir pada sebelah petang hingga malam di kawasan pedalaman.
 
Pahang turut dijangka mengalami ribut petir berlarutan dari petang hingga malam di kawasan pedalamannya.

Sehubungan dengan itu, orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan rendah serta berisiko berdepan banjir kilat di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan dan kawasan pedalaman Pantai Timur dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap amaran cuaca semasa serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi potensi hujan lebat dan angin kencang.

+ - reset