Berita Berita
PRN Melaka: SPR sahkan 79 calon bertanding di Melaka
MELAKA 31 OKTOBER - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengesahkan 79 calon mewakili pelbagai parti dan gabungan politik serta calon Bebas layak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, pada 14 Nov ini.
Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata Pakatan Harapan (PH) akan bertanding di 24 kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN)(23), Parti Bersama Malaysia (Bersama)(16) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)(tujuh).
Beliau berkata Perikatan Nasional (PN) pula bertanding di lima kerusi, Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra) satu kerusi manakala tiga individu bertanding sebagai calon Bebas.
"Bagi bilangan pertandingan mengikut penjuru, pertandingan satu lawan satu melibatkan 11 kerusi, tiga penjuru 11 kerusi dan empat penjuru enam kerusi.
"Bilangan calon yang bertanding mengikut jantina pula membabitkan 65 calon lelaki dan 14 calon wanita," katanya pada sidang media di Menara Persekutuan Ayer Keroh di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ramlan berkata calon tertua ialah wakil PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas iaitu Mohamad Jaafar, 66, manakala calon termuda juga daripada PH iaitu Muhammad Mukhlisul Mubin Julaisapiyah, 24, di kerusi DUN Kuala Linggi.
Katanya sebanyak dua calon berusia antara 18 hingga 29 tahun, 14 calon (30 hingga 39 tahun), 33 calon (40 hingga 49 tahun), 22 calon (50 hingga 59 tahun) dan lapan calon berusia 60 tahun ke atas.
Beliau berkata selepas proses penamaan calon hari ini, tempoh berkempen adalah sehingga 11.59 malam, 13 Nov.
"SPR menubuhkan 28 Pasukan Penguat kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon yang bertanding sepanjang tempoh berkempen.
"SPR juga berharap dan mengingatkan agar aktiviti berkempen yang dibenarkan berjalan dalam suasana penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan ditetapkan," katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana menjalankan tugas dengan lancar pada hari ini.
"Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka serta jabatan dan agensi di bawahnya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Insolvensi, Kementerian Komunikasi, petugas media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung," katanya.
SPR menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Proses penamaan calon berlangsung serentak di 28 pusat penamaan calon di seluruh negeri bermula 9 pagi dan ditutup sejam kemudian.
Berita berkaitan
October 31, 2026, 5:36 pm
'Jangan lepas pekerja sewenang-wenangnya', Fahmi sedia bantu syarikat media terjejas kewangan
October 31, 2026, 11:20 am
Hujan lebat, ribut petir di beberapa negeri bermula hujung minggu ini
October 31, 2026, 10:37 am
PRN Melaka: 28 pusat penamaan calon ditutup 10 pagi
October 31, 2026, 9:13 am
PRN Melaka: Pusat Penamaan Calon dibuka 9 pagi
October 30, 2026, 9:43 pm
Tragedi Nepal-Tibet: PERKESO mula hubungi waris, bayaran dijangka 4 November ini
October 30, 2026, 8:40 pm
MOF tangguh kontrak baharu jalan luar bandar elak tunggakan bayaran, bukannya batal projek
October 30, 2026, 8:23 pm
Polis siasat insiden cermin tren KTMB pecah dalam perjalanan ke Alor Setar
October 30, 2026, 8:19 pm
Akaun Fleksibel bukan jawapan lengkap masalah pencarum KWSP terdesak - PGIRM
October 30, 2026, 8:11 pm
