TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mohd Shuhaily kembali bertugas, pengerusikan mesyuarat AKPS selepas bercuti

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 2 November – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali menjalankan tugas hari ini selepas bercuti minggu lalu, meskipun Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum ini memutuskan untuk mengembalikan beliau ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kemunculan semula Mohd Shuhaily itu menyaksikan beliau mempengerusikan Mesyuarat Commander's Call Bil 3/2026 yang menghimpunkan pegawai kanan serta komander pintu masuk AKPS.

Menurut perkongsian di Facebook rasmi AKPS, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada perancangan Gerak Atur 2027 bagi memperkukuh hala tuju strategik, kesiapsiagaan operasi serta keberkesanan kawalan dan perlindungan sempadan negara.

AKPS memaklumkan, mesyuarat itu turut menjadi platform penyelarasan gerak kerja bagi memastikan kecekapan pengoperasian agensi terus dipertingkatkan.

Selain itu, aspek integriti dan keselamatan di semua pintu masuk negara turut diberikan penekanan selaras dengan komitmen agensi berkenaan untuk memperkukuh kawalan sempadan.

Mesyuarat tersebut juga mencerminkan kesinambungan agenda strategik AKPS dalam memastikan pelaksanaan tugas dan tanggungjawab agensi berjalan lancar bagi menghadapi cabaran operasi pada 2027.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan memaklumkan keputusan KDN untuk mengembalikan Mohd Shuhaily yang berkhidmat secara peminjaman kader sebagai Ketua Pengarah AKPS kepada PDRM.

Keputusan itu dibuat susulan perkembangan membabitkan Mohd Shuhaily yang berdepan dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily, 54, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Faiz Saman berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, KLIA, antara jam 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.

Beliau turut berdepan satu lagi pertuduhan kerana didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Ekmal Sofwan Dirman di lokasi dan dalam tempoh masa sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

+ - reset