TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pengasas BananaBro, Boat Noodle Tony Lim meninggal dunia

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 02 November – Industri makanan dan minuman (F&B) tempatan kehilangan seorang usahawan yang dikenali menerusi kejayaan membangunkan dua rangkaian restoran popular, BananaBro dan Boat Noodle, susulan pemergian pengasasnya, Tony Lim.

Berita kematian Tony dimaklumkan menerusi hantaran ucapan takziah yang diterbitkan kedua-dua jenama restoran berkenaan di media sosial pada Isnin.

Menerusi kenyataan BananaBro, mendiang dikenang sebagai seorang usahawan yang mempunyai cita-cita besar untuk memperkenalkan budaya hidangan nasi daun pisang Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, Tony bukan sahaja memainkan peranan penting dalam mencetuskan idea dan membangunkan perniagaan, malah sentiasa memberikan komitmen terhadap kebajikan pekerja serta individu yang bersama-sama merealisasikan visinya.

"Walaupun beliau tidak lagi bersama kami, impiannya akan terus hidup dalam setiap hidangan beralaskan daun pisang yang kami sajikan dan setiap sumbangan beliau.

"Terima kasih, Tony. Semangat dan minat mendalam anda menjadi inspirasi buat kami, kemurahan hati anda menyentuh hati kami, dan legasi yang ditinggalkan akan terus kekal sepanjang zaman," menurut kenyataan tersebut.

Tony mula mencipta nama dalam industri F&B selepas menubuhkan Boat Noodle pada 2014, sebuah rangkaian restoran yang mengetengahkan konsep makanan jalanan Thailand kepada pelanggan di Malaysia.

Restoran itu mendapat sambutan menerusi keunikan hidangan mi yang disajikan dalam mangkuk kecil, sekali gus membolehkan pelanggan mencuba pelbagai pilihan perisa dalam satu kunjungan.

Selain itu, budaya menyusun mangkuk kosong secara bertingkat selepas menikmati hidangan turut menjadi antara tarikan dan identiti popular Boat Noodle.

Empat tahun kemudian, pada 2018, Tony mengembangkan perniagaannya dengan memperkenalkan BananaBro yang menawarkan pengalaman menikmati nasi daun pisang menerusi konsep restoran lebih moden dan pantas pada harga berpatutan.

Jenama berkenaan mengetengahkan pelbagai pilihan lauk-pauk bersama nasi daun pisang dalam suasana restoran yang selesa bagi menarik pelanggan daripada pelbagai latar belakang.

Dalam tempoh lima tahun pertama penubuhannya, BananaBro berjaya berkembang kepada lebih 30 cawangan di seluruh Malaysia.

Malah, rangkaian restoran itu dilaporkan mencatatkan pendapatan kira-kira RM70 juta pada 2023, mencerminkan perkembangan pesat jenama berkenaan dalam pasaran tempatan.

Kejayaan membangunkan Boat Noodle dan BananaBro menjadikan Tony antara usahawan yang berjaya memperkenalkan pendekatan baharu dalam industri restoran, khususnya menerusi konsep penyajian makanan yang dekat dengan cita rasa masyarakat Malaysia.

Pemergiannya meninggalkan legasi dalam industri F&B tempatan menerusi dua jenama yang terus dikenali dalam kalangan pelanggan.

+ - reset