TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Baru 20-an, 30-an jangan rasa kebal penyakit' - Yuneswaran ingatkan belia jangan tunggu sakit baru jaga kesihatan

By
|
Kongsi
image

 

PULAU PINANG 2 November – Golongan belia berusia lingkungan 20-an dan 30-an diingatkan supaya tidak memandang ringan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung yang turut boleh menyerang golongan muda.

Peringatan itu disampaikan Timbalan Menteri Perpaduan, Yuneswaran Ramaraj sempena Program Code Red Belia Zon Utara: Klinik Kesedaran Kesihatan Belia anjuran Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Zon Utara di Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Menerusi perkongsian Yuneswaran di media sosial, individu yang menyempurnakan majlis perasmian penutupan program berkenaan menegaskan bahawa penjagaan kesihatan perlu bermula sejak usia muda dan bukannya hanya apabila seseorang mula mengalami masalah kesihatan.

Menurutnya, langkah pencegahan boleh dimulakan dengan mengurangkan pengambilan gula dan garam, mengamalkan pemakanan seimbang, aktif bersukan serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Beliau turut menekankan bahawa golongan belia bukan sekadar pewaris masa depan negara, sebaliknya memainkan peranan penting sebagai penggerak perubahan dalam masyarakat.

Katanya, usaha berkongsi ilmu, menjaga kebajikan dan membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum atau agama merupakan antara pendekatan yang mampu memperkukuh perpaduan.

Walaupun program berkenaan memberi tumpuan kepada komuniti belia India, beliau berharap inisiatif kesedaran kesihatan seumpamanya dapat diperluaskan kepada golongan belia daripada pelbagai kaum.

Ini kerana, katanya, penjagaan kesihatan merupakan tanggungjawab bersama yang tidak seharusnya dibatasi perbezaan kaum, agama mahupun budaya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan MIYC termasuk Janarthanan Vellithathum dari MIYC Pulau Pinang, Varatharasan Subramaniam dari MIYC Perak dan Shillan Segaran dari MIYC Kedah.

Penghargaan sama diberikan kepada Pengarah Program, Nithiyarajah A/L Nadarajah, Sharen daripada Majlis Belia Negeri Pulau Pinang serta Sheryuren daripada Hindu Youth Organisation (HYO).

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para doktor, petugas kesihatan, rakan strategik, sukarelawan dan seluruh jawatankuasa penganjur yang menjayakan program berkenaan.

Program Code Red diharap tidak terhenti sebagai inisiatif sehari, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada pembentukan generasi muda yang lebih sihat, prihatin terhadap masyarakat dan mempunyai semangat perpaduan yang kukuh.

+ - reset