TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KKM rampas 697 unit retatrutide bernilai RM341,000, belum diluluskan untuk kegunaan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 2 November – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merampas sebanyak 697 unit produk retatrutide yang dikaitkan dengan suntikan penurunan berat badan menerusi 12 serbuan sepanjang 2025 hingga September 2026.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, rampasan itu membabitkan nilai keseluruhan RM341,000 susulan kegiatan penjualan produk berkenaan yang masih belum mendapat kelulusan KKM.

Menurutnya, retatrutide juga belum disenaraikan dalam formulari kementerian, sekali gus tidak termasuk dalam senarai ubat yang diluluskan untuk kegunaan di fasiliti kesihatan KKM.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan turut dijalankan terhadap penjualan secara tidak sah ubat lain yang berkaitan dengan pengurusan berat badan dan diabetes, termasuk Ozempic serta semaglutide.

“Bagi tempoh 2025 hingga September 2026, sebanyak tujuh serbuan berkaitan produk berkenaan telah dilaksanakan dengan rampasan berjumlah 62 unit yang melibatkan nilai keseluruhan RM64,170,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Dzulkefly berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) berhubung tindakan penguatkuasaan dan pendekatan kementerian dalam menangani penjualan ubat terkawal secara tidak sah menerusi platform dalam talian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, KKM turut mempergiat pemantauan terhadap aktiviti penjualan ubat di platform e-dagang bagi memastikan produk yang tidak berdaftar atau dijual tanpa kebenaran dapat dikesan.

“Antara langkah yang diambil termasuk aktiviti pengesanan dan saringan terhadap penjualan ubat-ubatan serta penurunan iklan daripada platform e-dagang.

“Siasatan terhadap aduan yang diterima dan serbuan ke atas pihak yang menjual ubat tidak berdaftar turut dilaksanakan. Langkah ini sangat penting khususnya dalam konteks penjualan ubat seperti Ozempic, Mounjaro dan produk lain yang berkaitan,” tambahnya lagi.

Menurut Dzulkefly, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di bawah Program Perkhidmatan Farmasi KKM akan terus menjalankan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan secara berterusan mengikut bidang kuasa kementerian.

Katanya, pengawasan terhadap platform e-dagang juga akan dipertingkatkan bagi membendung kegiatan penjualan ubat secara tidak sah, khususnya produk yang memerlukan kawalan dan pemantauan perubatan.

+ - reset