TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penjara 10 tahun tak setimpal, hukuman penjara perogol kanak-kanak dinaikkan kepada 15 tahun

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 2 November - Hukuman penjara terhadap seorang bekas pekerja domestik warga Indonesia yang didapati bersalah merogol kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun ditingkatkan daripada 10 kepada 15 tahun oleh Mahkamah Rayuan, hari ini.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati hukuman asal yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen tidak setimpal dengan keseriusan jenayah berkenaan.

Mahkamah menggunakan peruntukan Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi meningkatkan tempoh pemenjaraan terhadap tertuduh, Zulpandy Rispen Effendi.

Azman yang bersidang bersama-sama Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K. Muniandy turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh Zulpandy ditangkap pada 7 Julai 2022.

“Hukuman penjara 10 tahun (yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen) tidak memberikan mesej kepada orang ramai mengenai keseriusan kesalahan merogol kanak-kanak,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan hukuman dua sebatan yang diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Dalam penghakimannya, Azman berkata, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kekhilafan ketika mensabitkan Zulpandy atas pertuduhan berkenaan.

Menurutnya, keterangan penyambut tetamu sebuah hotel yang melihat tertuduh hadir bersama seorang kanak-kanak perempuan ketika membuat pendaftaran adalah konsisten dengan keterangan mangsa.

Mangsa sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa dia menunggu di luar hotel ketika Zulpandy membuat urusan pendaftaran bilik.

Pada 22 April 2025, Mahkamah Sesyen Ampang mendapati Zulpandy bersalah merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 13 tahun empat bulan di sebuah bilik hotel di Gombak, Selangor pada jam 5.34 petang, 26 Jun 2022.

Berdasarkan fakta kes, mangsa mengenali tertuduh dan mereka berkomunikasi menerusi aplikasi WhatsApp selama lapan hari sebelum kejadian berlaku.

Susulan sabitan itu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan, selain memerintahkan Zulpandy menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh tahanan.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Zulpandy kemudian mengemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman berkenaan, namun Mahkamah Tinggi Shah Alam menolaknya pada 27 Februari lalu.

Pada prosiding hari ini, Zulpandy diwakili peguam Marisha Dianah Md Darus dan Ahmad Hafiz A. Bakar, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Zaki Asyraf Zubir.

+ - reset