TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jangan 'peti sejukkan' Mohd Shuhaily, lantik sertai pasukan siasat mafia korporat – Wan Fayhsal

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 2 Nov – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilantik menganggotai pasukan petugas khas antara agensi yang ditubuhkan bagi menyiasat kegiatan jenayah kewangan, khususnya membabitkan mafia korporat.

Beliau berkata, pengalaman luas Mohd Shuhaily dalam bidang penguatkuasaan, termasuk pernah menerajui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, wajar dimanfaatkan kerajaan dalam usaha membanteras jenayah kewangan dan rasuah.

Menurutnya, pelantikan itu juga dapat membantu kerajaan menjimatkan kos operasi pasukan berkenaan tanpa perlu menambah keanggotaan baharu.

"Memandangkan Mohd Shuhaily sudah dipindahkan dari AKPS ke Kementerian Dalam Negeri (KDN), selama mana beliau berdepan dengan pertuduhan di mahkamah, saya mencadangkan untuk menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan, lantik beliau sebagai salah seorang anggota pasukan petugas khas antara agensi ini.

"Saya yakin Mohd Shuhaily mampu menjejak kroni-kroni skandal mafia korporat. Jangan kita buang orang-orang baik seperti ini dan letak di dalam peti sejuk KDN," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) berkata, kerajaan tidak seharusnya mengetepikan pegawai penguat kuasa berpengalaman yang disifatkannya mempunyai rekod prestasi baik dalam memerangi rasuah.

Beliau turut berpandangan bahawa operasi pasukan petugas khas itu tidak memerlukan peruntukan besar atau pertambahan pegawai di Pejabat Peguam Negara kerana kepakaran sedia ada boleh digunakan.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan meminta Peguam Negara mengetuai sebuah pasukan petugas khas membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan bagi menyelaraskan siasatan berhubung kegiatan mafia korporat.

Pasukan itu melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Ia turut membabitkan pasukan berkaitan penguatkuasaan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal menggesa kerajaan memastikan komitmen memerangi rasuah diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten, termasuk dalam pengurusan pegawai awam yang berpengalaman.

"Jangan aniaya pegawai-pegawai kerajaan yang cemerlang dalam melawan rasuah. Sebab itu yang dijanjikan oleh Tambun (Anwar) iaitu sakau, sakau, sakau.

"Namun, apabila membabitkan tindakan, ia tidak selari dengan apa yang dijanjikan. Jadi, saya minta Pengerusi (Dewan Rakyat) supaya cadangan kami diterima oleh Kerajaan MADANI kerana kita sama-sama ingin melawan rasuah," katanya

+ - reset