TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Syed Saddiq tuntut penjelasan status siasatan 'mafia korporat'

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 2 NOVEMBER - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mendesak kerajaan agar mendedahkan hasil siasatan awal berhubung isu "mafia korporat" yang membabitkan skandal saham, susulan pengumuman mengenainya yang dibuat sejak Februari lalu.

Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini, sambil menarik perhatian kepada janji terbaharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu berhubung siasatan bebas di bawah Peguam Negara.

Menurut Syed Saddiq, ketiadaan laporan rasmi sehingga kini menimbulkan tanda tanya mengenai perbezaan terma rujukan di antara pasukan penyiasat yang diumumkan pada Februari lalu berbanding Oktober lalu.

"Apa perbezaan skop atau terma rujukan badan siasatan yang diwujudkan pada Februari dengan yang diwujudkan lagi sekali pada Oktober? Apa hasil siasatan awal pada Februari? Ini penting supaya kita faham dan tindakan lanjut melalui penggubalan dasar dapat dilakukan," katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menegaskan bahawa pendiriannya bukan berpaksikan dendam politik, sebaliknya menuntut ketelusan agar kelemahan sistemik itu dapat ditangani menerusi pembaharuan dasar yang berkesan supaya ia tidak berulang.

Sidang Dewan Rakyat sebelum ini melaporkan jaminan Perdana Menteri bahawa pentadbiran kerajaan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan berkenaan, selain memaklumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas di bawah Peguam Negara dengan tempoh tiga bulan ditetapkan bagi membentangkan laporan lengkap.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mendedahkan kewujudan fenomena "mafia politik" yang didakwanya terus berakar umbi tanpa mengira peralihan pentadbiran kerajaan.

Beliau mendakwa amalan menggunakan fail siasatan lama untuk menekan pihak tertentu bagi meraih sokongan politik masih berlaku, satu kitaran yang dibimbirinya akan terus mencemari landskap politik negara sekiranya tiada tindakan tegas dan ketelusan menyeluruh dilaksanakan.

+ - reset