Berita Berita
KPM, PDRM perkukuh kerjasama tangani buli, salah laku murid
KUALA LUMPUR 4 Nov – Kira-kira 16,000 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) kini memainkan peranan lebih aktif dalam hal ehwal sekolah bagi memastikan murid mendapat perlindungan dan bantuan awal, khususnya ketika berdepan ancaman buli serta isu keselamatan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kehadiran anggota polis di sekolah bukan hanya diperlukan selepas sesuatu kejadian berlaku, sebaliknya murid perlu mengenali pegawai yang boleh membantu mereka apabila berdepan ancaman atau ketakutan.
Menurutnya, terdapat murid yang terpaksa hadir ke sekolah dalam keadaan takut kerana bimbang terhadap individu tertentu, malah ada yang tidak berani membuat aduan kerana khuatir diugut.
“Berat hati seorang anak hendak ke sekolah apabila ada orang yang ditakutinya di sana.
“Dia mungkin mahu mengadu tetapi bimbang akan diugut pula. Akhirnya, setiap pagi dia perlu berdepan ketakutan yang sama. Saya tidak mahu anak-anak merasakan mereka perlu menghadapi semua ini seorang diri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Fadhlina berkata, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuannya bersama Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), DCP Datuk Suryani Sungit.
Katanya, pertemuan berkenaan memberikan tumpuan kepada keperluan mengesan petanda awal masalah keselamatan murid serta memastikan tindakan segera dapat diambil sebelum keadaan menjadi lebih serius.
“Buat masa sekarang kira-kira 16,000 Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terlibat lebih aktif dalam hal ehwal sekolah. Saya mahu anak-anak mengenali pegawai yang boleh membantu mereka. Bukan hanya melihat kehadiran polis selepas sesuatu kejadian berlaku,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, perbincangan turut menyentuh cadangan meningkatkan kekerapan saringan air kencing oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta perkongsian data berkaitan kesihatan mental bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Langkah itu bertujuan membantu pihak berkaitan mengenal pasti murid yang memerlukan intervensi awal dan sokongan bersesuaian.
Fadhlina menegaskan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan murid tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu guru.
Sebaliknya, kerjasama antara agensi perlu diperkukuh bagi memudahkan pihak sekolah mendapatkan bantuan serta memastikan setiap aduan diberikan perhatian dan tindakan susulan.
“Guru tidak harus memikul tanggungjawab ini sendirian. Kerjasama antara agensi mesti memudahkan sekolah mendapatkan bantuan dan memastikan setiap aduan disusuli tindakan.
“Kepada ibu bapa dan warga sekolah, ambil peduli apabila anak cuba bercerita. Anak-anak perlu tahu bahawa apabila mereka berani bersuara, kita bersedia mendengar dan melindungi mereka,” katanya.
Berita berkaitan
November 4, 2026, 4:19 pm
Mat Sabu beri jaminan bekalan beras, barang asas stabil
November 4, 2026, 4:11 pm
Kerajaan jimat RM3 bilion guna kaedah pajakan 28 helikopter untuk agensi kerajaan
November 4, 2026, 3:57 pm
Shuhaily kembali turun padang, tinjau tahap kesiapsiagaan kawalan sempadan Malaysia-Indonesia di Tebedu
November 4, 2026, 3:48 pm
KDN murni lebih dua tan al-Quran usang, rosak di perairan Selat Melaka
November 4, 2026, 3:31 pm
Pemuda tular lakukan ritual di kuil diarah jalani pemulihan akidah tiga bulan
November 4, 2026, 11:49 am
Da’i Syed bebas tuduhan rogol, Mahkamah Rayuan ketepi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan
November 4, 2026, 10:52 am
Tak nampak bukan halangan urus duit, BSN keluar modul Braille bantu lebih 500 murid masalah penglihatan
November 4, 2026, 10:42 am
