Berita Berita
' Simpan 9 liter air untuk 72 jam' - PM Thailand beri amaran, arah rakyat sedia beg kecemasan, bekalan cukup untuk 3 hari
BANGKOK 4 Nov – Kerajaan Thailand menggesa setiap isi rumah menyediakan beg kecemasan mengandungi bekalan keperluan asas untuk bertahan sekurang-kurangnya 72 jam sekiranya berlaku bencana atau krisis.
Gesaan itu dibuat ketika kerajaan negara berkenaan turut meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi ancaman keselamatan baharu, termasuk serangan siber yang berpotensi menjejaskan sistem penyimpanan dan bekalan makanan.
Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM), Nirat Pongsitthaworn berkata, persediaan awal penting bagi memastikan orang ramai mampu menguruskan keperluan diri dan keluarga sementara menunggu bantuan pihak berkuasa tiba.
Menurutnya, setiap beg kecemasan perlu mengandungi enam kategori barangan utama merangkumi ubat-ubatan, makanan dan air minuman, peralatan komunikasi, dokumen penting serta wang tunai, kelengkapan kebersihan dan pakaian.
Orang ramai turut disarankan menyediakan sekurang-kurangnya tiga liter air minuman sehari bagi setiap individu atau sembilan liter untuk tempoh 72 jam.
Beg kecemasan kalis air itu juga perlu disimpan di lokasi mudah dicapai dan diperiksa secara berkala bagi memastikan semua bekalan berada dalam keadaan baik.
Sementara itu, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul mengarahkan agensi kerajaan memperkukuh langkah keselamatan susulan laporan serangan siber terhadap sistem penyejukan dan penyimpanan makanan di beberapa negara Eropah.
Menurut Anutin, insiden berkenaan menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan makanan dan industri eksport pertanian Thailand yang bergantung kepada sistem penyimpanan serta rantaian bekalan berteknologi tinggi.
Beliau berkata, perkara itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet pada Selasa dengan kementerian dan agensi berkaitan diarahkan memastikan sistem digital negara dilindungi daripada pencerobohan siber.
Antara agensi terlibat ialah Kementerian Ekonomi dan Masyarakat Digital serta jabatan berkaitan teknologi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi.
Polis Diraja Thailand (RTP) dan Biro Siasatan Jenayah Siber turut memantau perkembangan berkenaan.
Serangan yang dilaporkan di Eropah dipercayai melibatkan manipulasi sistem penyejukan sehingga menyebabkan suhu ruang penyimpanan meningkat secara mendadak dan merosakkan bekalan makanan segar serta sejuk beku.
Malah, terdapat laporan mendakwa suhu sistem penyejukan dimanipulasi sehingga mencecah 50 darjah Celsius.
Anutin turut mengarahkan Kementerian Perdagangan meneliti keperluan perlindungan insurans dan syarat pembayaran bagi pengeksport pertanian bagi mengelakkan kerugian sekiranya berlaku serangan sedemikian.
Langkah itu penting memandangkan Thailand merupakan antara pengeksport makanan utama dunia, sekali gus terdedah kepada risiko pembeli luar negara enggan membuat pembayaran atas alasan produk rosak atau gagal memenuhi piawaian kualiti.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Thailand, Jeneral Chaiyapruek Duangprapat memaklumkan mesyuarat bersama agensi berkaitan akan diadakan bagi menilai prosedur operasi dan langkah pencegahan terhadap ancaman berkenaan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menegaskan belum terdapat bukti muktamad mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan di Eropah, termasuk dakwaan kemungkinan kaitannya dengan konflik Rusia-Ukraine.
– Agensi
Berita berkaitan
November 4, 2026, 11:49 am
Da’i Syed bebas tuduhan rogol, Mahkamah Rayuan ketepi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan
November 4, 2026, 10:52 am
Tak nampak bukan halangan urus duit, BSN keluar modul Braille bantu lebih 500 murid masalah penglihatan
November 4, 2026, 10:42 am
36 PATI ditahan dalam operasi khas Imigresen di Muar
November 4, 2026, 10:35 am
Bekas KP Pendidikan wanita pertama Tan Sri Asiah Abu Samah meninggal dunia
November 4, 2026, 10:25 am
Pesara guru rugi RM521,787 terpedaya pelaburan tidak wujud di Facebook
November 4, 2026, 10:20 am
Lelaki maut, rakan wanita cedera motosikal terlibat kemalangan dengan bas Rapid Penang
November 4, 2026, 10:13 am
Najib dijangka bayar denda RM50 juta bagi jalani tahanan di rumah
November 4, 2026, 10:10 am
KBS belum lulus HYROX Kuala Lumpur 2026 selagi syarikat alkohol jadi penaja
November 4, 2026, 9:22 am
