TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tak nampak bukan halangan urus duit, BSN keluar modul Braille bantu lebih 500 murid masalah penglihatan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Nov – Lebih 500 Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) ketidakupayaan penglihatan di 32 sekolah seluruh negara berpotensi mendapat manfaat daripada Modul Celik Kewangan versi Braille yang diperkenalkan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Inisiatif itu bertujuan memperluas akses pendidikan kewangan kepada murid yang mempunyai keperluan pembelajaran berbeza, sekali gus membantu mereka memahami asas pengurusan wang sejak usia muda.

BSN dalam kenyataan memaklumkan, modul berkenaan dibangunkan dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menyediakan bahan pembelajaran kewangan yang lebih mudah diakses oleh murid ketidakupayaan penglihatan.

Menurutnya, modul itu turut membantu guru pendidikan khas menyampaikan pembelajaran berkaitan kewangan dengan lebih berkesan di dalam bilik darjah.

Antara topik yang diketengahkan termasuk wang dan kerjaya, pendapatan dan belanjawan, simpanan dan pelaburan, kredit dan hutang serta perlindungan risiko termasuk takaful.

Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, usaha memperkukuh keterangkuman kewangan perlu bermula dengan memastikan setiap individu mempunyai akses kepada ilmu dan peluang membentuk tabiat kewangan yang baik.

“Rangkuman kewangan tidak bermula di kaunter bank. Sebaliknya, ia bermula apabila seorang kanak-kanak diberi peluang untuk mempelajari tentang kewangan melalui kaedah yang dapat difahami dan digunakan dalam kehidupan mereka. Dengan memperluas akses kepada pendidikan kewangan untuk MBPK ketidakupayaan penglihatan, kami mengambil satu lagi langkah ke arah memastikan Tiada Rakyat Malaysia Yang Ketinggalan.”

Modul versi Braille itu merupakan kesinambungan kepada Modul BSN Celik Kewangan yang diperkenalkan pada 2023 khusus untuk murid sekolah rendah dan menengah.

Modul asal berkenaan kemudiannya disediakan menerusi platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) pada 2024 bagi membolehkan bahan pendidikan kewangan diakses secara digital.

Pada 2025, BSN turut bekerjasama dengan Todak Academy dan 26 murid di Lembah Klang untuk membangunkan versi modul berasaskan gamifikasi yang turut dimuatkan dalam platform DELIMa.

Pendekatan itu bertujuan menjadikan pembelajaran literasi kewangan lebih interaktif dan menarik khususnya dalam kalangan generasi muda.

Modul Celik Kewangan versi Braille berkenaan dilancarkan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid pada 25 Oktober lalu sempena Karnival Celik Kewangan 2026 di Shah Alam.

Dalam perkembangan berkaitan, BSN turut menerbitkan siri video ‘Pilih Untuk Mula’ yang menampilkan pelakon Beto Kusyairy, Nadiya Nisaa dan Sayf Mikael sempena Hari Tabungan Sedunia pada 31 Oktober lalu.

Siri video itu bertujuan menggalakkan masyarakat membudayakan amalan menabung dengan menekankan bahawa simpanan tidak semestinya bermula dengan jumlah besar, sebaliknya boleh dilakukan secara kecil-kecilan tetapi konsisten.

Kesemua inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha BSN memperluas pendidikan kewangan kepada masyarakat, selaras dengan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 yang memberi penekanan terhadap aspek keterangkuman kewangan.

 

+ - reset