TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gara-gara elak monyet tengah jalan, dua anggota polis ceder kereta peronda terbalik beberapa kali di Terengganu

By
|
Kongsi
image

 

HULU TERENGGANU 9 Nov - Dua anggota polis cedera selepas kereta peronda dinaiki mereka terbabas dan terbalik beberapa kali ketika cuba mengelak sekumpulan monyet yang tiba-tiba muncul di tengah jalan di Kilometer 4, Jalan Simpang Bukit Kepah-Tapah, Kampung Kepah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pemandu, Muhammad Amirul Hafiz Ahmad, 26, patah tangan kiri, manakala rakannya, Khairil Azlan Abdul Latif, 44, mengalami kesakitan pada bahagian rahang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kedua-dua anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu sedang menjalankan rondaan penguatkuasaan trafik ketika kejadian.

Menurutnya, kereta jenis Honda City yang dinaiki mereka dalam perjalanan dari Simpang Kepah menuju ke Kuala Berang sebelum berdepan situasi cemas apabila sekumpulan monyet berada di laluan berkenaan.

"Setibanya di lokasi kejadian, secara tiba-tiba sekumpulan monyet telah berada di tengah jalan.

"Pemandu kenderaan berkenaan bertindak mengelak ke arah kanan bagi mengelakkan daripada melanggar haiwan tersebut.

"Bagaimanapun, kenderaan tersebut telah hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik beberapa kali," katanya.

Sharudin berkata, kemalangan itu menyebabkan kereta peronda berkenaan mengalami kerosakan pada keseluruhan bahagian.

Katanya, siasatan awal turut mendapati permukaan jalan berada dalam keadaan basah selepas hujan ketika kemalangan berlaku.

"Mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Hulu Terengganu menggunakan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

+ - reset