TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pelajar tingkatan tiga maut, motosikal bertembung kereta rasmi polis di Terengganu

By
|
Kongsi
image

 

BANDAR PERMAISURI 9 Nov - Seorang pelajar tingkatan tiga maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta rasmi polis di Kilometer 63, Kampung Pak Kancil, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.35 pagi itu, mangsa, Muhammad Hazim Daniel Mohamad Radzi, 15, yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Zahril Asri Mohd Zain berkata, mangsa ketika itu dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu.

"Motosikal itu bertembung dengan kereta rasmi polis jenis Honda City yang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Terengganu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kereta rasmi polis berkenaan dinaiki dua lelaki masing-masing berusia 35 dan 32 tahun, dengan seorang daripadanya bertindak sebagai pemandu.

Beliau berkata, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim disahkan meninggal dunia susulan kemalangan berkenaan.

Mayat remaja itu kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu bagi tujuan bedah siasat.

Zahril Asri turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu di talian 09-6098222.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

+ - reset