TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Konsert The Weeknd di Malaysia didakwa ada unsur pemujaan, Jakim mula siasatan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 9 Nov - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi mengesahkan dakwaan wujudnya unsur pemujaan dalam persembahan konsert penyanyi antarabangsa, The Weeknd di Bukit Jalil, minggu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, penelitian itu dilakukan bagi memastikan persembahan artis antarabangsa mematuhi garis panduan ditetapkan, selain menghormati sensitiviti agama dan budaya masyarakat Malaysia.

Menurutnya, Islam melarang sebarang bentuk pemujaan selain Allah SWT dan semua pihak perlu memastikan persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah.

“Islam secara tegas melarang sebarang bentuk unsur pemujaan selain Allah SWT.

“Semua pihak perlu memastikan agar persembahan seni tidak menimbulkan kekeliruan berkaitan akidah, akhlak dan sensitiviti agama di Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Zulkifli berkata, Bahagian Penyelidikan Jakim kini berhubung rapat dengan Urus Setia Garis Panduan Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) bagi meneliti perkara berkenaan.

“Kerjasama ini bagi mengesahkan kesahihan dakwaan serta pematuhan syarat persembahan konsert The Weeknd di Bukit Jalil,” katanya.

Beliau menegaskan tindakan tegas boleh diambil sekiranya siasatan mendapati terdapat pelanggaran syarat atau undang-undang berkaitan penganjuran persembahan berkenaan.

“Tindakan tegas berlandaskan undang-undang dan fakta sahih akan diambil bagi memastikan setiap persembahan artis dalam dan luar negara sentiasa memelihara sensitiviti agama, budaya serta ketenteraman awam,” katanya.

Terdahulu, persembahan The Weeknd mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial susulan penggunaan beberapa elemen visual pentas yang didakwa mempunyai kaitan dengan ritual atau pemujaan.

Antara yang menjadi perhatian ialah kemunculan patung robot wanita gergasi hasil rekaan artis Jepun, Hajime Sorayama, serta sekumpulan penari mengenakan jubah merah bertudung hud.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai unsur pemujaan itu masih belum disahkan dan sedang diteliti pihak berkuasa berkaitan.

+ - reset