TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

PRN Melaka: Gigih turun rumah ke rumah, calon PH Durian Tunggal faham keperluan penduduk

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 9 Nov - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Ashraf Mukhlis Minghat mahu memastikan setiap suara dan keperluan penduduk kawasan itu diberi perhatian dalam usaha membawa pembangunan yang lebih dekat dengan rakyat.

Ashraf berkata, pendekatan turun padang dan bertemu sendiri dengan penduduk menjadi keutamaannya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi memahami isu serta harapan masyarakat setempat.

Menurutnya, pengalaman bertemu pengundi dari rumah ke rumah dan menyantuni masyarakat di kampung-kampung sepanjang minggu pertama kempen memberikan gambaran lebih dekat mengenai kehendak penduduk Durian Tunggal.

Beliau berkata, sambutan positif masyarakat turut memberi keyakinan bahawa pendekatan mendengar suara rakyat secara langsung mampu membina hubungan lebih erat antara calon dan pengundi.

“Pengundi Durian Tunggal ini sangat baik. Tidak pernah menolak kedatangan kita, melayan kita dengan baik.

“Bila kita merayu, mereka juga memberikan respon yang sangat baik. Jadi saya rasa ini merupakan satu petanda yang positif untuk saya,” katanya.

Dalam pada itu, Ashraf berkata, tumpuan kempen pada minggu kedua akan diperluaskan kepada golongan anak muda dan wanita bagi memastikan aspirasi kedua-dua kumpulan itu turut mendapat perhatian.

Katanya, pelbagai aktiviti telah dirancang termasuk program santai bersama anak muda sebagai ruang untuk mendekati mereka dalam suasana lebih terbuka.

“Minggu pertama, kita banyak pergi kepada kampung-kampung, rumah-rumah dan sebagainya.

“Jadi minggu kedua ini kita lebih fokus kepada anak-anak muda dan juga wanita,” katanya.

Pendekatan itu mencerminkan usaha Ashraf untuk mengenali masyarakat Durian Tunggal daripada pelbagai latar belakang, selain memastikan kempen yang dijalankan tidak hanya tertumpu kepada ceramah politik semata-mata.

Beliau turut meneruskan aktiviti kemasyarakatan termasuk menyantuni penduduk pelbagai kaum sempena sambutan Deepavali di Taman Desa Idaman, Kampung Baru Bukit Balai dan Taman Scientex 2.

Melalui pertemuan secara langsung dengan masyarakat, Ashraf berharap dapat terus memahami keutamaan penduduk dan membawa suara mereka dalam usaha membangunkan Durian Tunggal sekiranya diberikan mandat pada PRN Melaka, 14 November ini.

+ - reset