Berita Berita
Buang mayat bayi baru lahir dalam longkang, pembantu kedai makan dipenjara tiga bulan, denda RM5,000
KUALA BERANG 9 Nov - Seorang pembantu kedai makan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menyembunyikan kelahiran bayi dengan membuang mayatnya ke dalam longkang, bulan lalu.
Tertuduh, Nur Ain Adilin Mohd Rofiza, 23, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim.
Mahkamah turut memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara tambahan lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Nur Athirah menetapkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap.
Mengikut pertuduhan, Nur Ain Adilin didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran seorang bayi dengan cara membuang mayatnya ke dalam longkang di Perumahan Awam Kos Rendah Padang Setengge, di sini.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 10 malam pada 15 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian terbongkar selepas polis menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menemui mayat bayi di dalam longkang kawasan perumahan berkenaan pada petang 16 Oktober lalu.
Susulan penemuan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu menjalankan siasatan sebelum menahan tertuduh di sebuah kios berhampiran jalan utama Kampung Telaga pada 17 Oktober.
Hasil siasatan mendapati wanita berkenaan dipercayai sengaja menyembunyikan kelahiran bayi terbabit dengan membuang mayatnya ke dalam longkang.
Mayat bayi itu kemudian menjalani bedah siasat, manakala sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Aziah Bunawan.
Berita berkaitan
November 9, 2026, 3:01 pm
PRN Melaka: Gigih turun rumah ke rumah, calon PH Durian Tunggal faham keperluan penduduk
November 9, 2026, 2:44 pm
Konsert The Weeknd di Malaysia didakwa ada unsur pemujaan, Jakim mula siasatan
November 9, 2026, 12:32 pm
Pelajar tingkatan tiga maut, motosikal bertembung kereta rasmi polis di Terengganu
November 9, 2026, 10:48 am
Suami isteri menyamar polis dicekup penduduk kampung ketika tipu warga emas RM50,000 di Dungun
November 9, 2026, 10:18 am
Bakar mercun atas jalan berhampiran lampu isyarat, 4 lelaki ditahan polis
November 9, 2026, 9:46 am
Pelajar Tingkatan Lima maut dipercayai jatuh tingkat sembilan tempat letak kereta PPA1M Selasih
November 8, 2026, 9:20 pm
