Berita Berita
Belanja sampai pokai ketika bercuti, lelaki Malaysia nekad rompak wanita di Batam untuk pulang ke tanah air
JOHOR BAHRU 9 Nov - Gara-gara kehabisan wang ketika bercuti di Indonesia, seorang lelaki warga Malaysia bertindak merompak seorang wanita menggunakan pistol airsoft dan pisau sebelum melarikan kenderaan mangsa di Batam, Jumaat lalu.
Suspek berusia 41 tahun yang berasal dari Melaka itu turut bertindak agresif dengan merempuh seorang anggota polis trafik sehingga cedera ketika cuba meloloskan diri daripada ditangkap.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Barelang, Indonesia, Komisioner Agung Tri Poerbowo berkata, suspek dipercayai merancang rompakan berkenaan selepas kehabisan wang untuk membiayai perjalanan pulang ke Malaysia.
Menurutnya, lelaki itu memasuki Indonesia pada 15 September lalu untuk bercuti, namun tinggal lebih masa selama 10 hari selepas menghadapi masalah kewangan.
"Dia tiba di Indonesia pada 15 September lalu, namun tinggal lebih masa selama 10 hari selepas gagal mendapatkan wang mencukupi untuk membiayai perjalanan pulang ke Malaysia.
"Dia pada mulanya datang ke Indonesia untuk bercuti, tetapi kehabisan wang. Suspek kemudian merancang merompak seseorang bagi mendapatkan wang untuk pulang ke tanah air dengan menyasarkan mangsa secara rawak," katanya seperti dipetik media Indonesia.
Menurut laporan, kejadian berlaku ketika mangsa, wanita berusia 48 tahun, selesai membuat pembayaran cukai kenderaan di kaunter Samsat, Harbour Bay, sebelum mengeluarkan wang tunai di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Ketika mangsa kembali ke keretanya, suspek dipercayai secara tiba-tiba memasuki tempat duduk penumpang dan memaksa wanita itu memandu menuju ke Bukit Senyum.
Setibanya di kawasan berhampiran sebuah taman perumahan, suspek mengeluarkan pistol airsoft dan sebilah pisau sebelum mengugut mangsa supaya memindahkan wang secara dalam talian ke akaun bank miliknya.
Bagaimanapun, mangsa bertindak menjerit meminta pertolongan sehingga menyebabkan suspek panik lalu menolaknya keluar dari kenderaan.
Suspek kemudian melarikan Toyota Rush milik mangsa bersama barangan berharga yang keseluruhannya dianggarkan bernilai 292 juta rupiah atau kira-kira RM73,000.
Tindakannya bagaimanapun disedari seorang anggota polis trafik yang terdengar jeritan mangsa sebelum bertindak mengejar dan memintas kenderaan berkenaan.
Agung berkata, suspek turut mengacukan pistol airsoft ke arah anggota polis itu sebelum merempuhnya sehingga menyebabkan kecederaan.
Siasatan mendapati pistol airsoft yang digunakan dalam kejadian dibeli daripada seorang pengawal keselamatan pangsapuri dengan harga satu juta rupiah.
Pengawal keselamatan terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembekalan senjata berkenaan.
Polis turut merampas Toyota Rush milik mangsa, wang tunai satu juta rupiah, sebuah beg, pistol airsoft bersama lima kartrij karbon dioksida (CO2) serta sebilah pisau.
Suspek kini berdepan pertuduhan mengikut Artikel 365 Kanun Keseksaan Indonesia atas kesalahan mencuri dengan kekerasan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sembilan tahun jika sabit kesalahan.
Berita berkaitan
November 9, 2026, 4:03 pm
'Semua masalah Melaka dia tahu’ - Adly yakin Ashraf Minghat mampu bela nasib rakyat Durian Tunggal
November 9, 2026, 3:01 pm
PRN Melaka: Gigih turun rumah ke rumah, calon PH Durian Tunggal faham keperluan penduduk
November 9, 2026, 2:44 pm
Konsert The Weeknd di Malaysia didakwa ada unsur pemujaan, Jakim mula siasatan
November 9, 2026, 2:19 pm
Buang mayat bayi baru lahir dalam longkang, pembantu kedai makan dipenjara tiga bulan, denda RM5,000
November 9, 2026, 12:32 pm
Pelajar tingkatan tiga maut, motosikal bertembung kereta rasmi polis di Terengganu
November 9, 2026, 10:48 am
Suami isteri menyamar polis dicekup penduduk kampung ketika tipu warga emas RM50,000 di Dungun
November 9, 2026, 10:18 am
