TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Semua masalah Melaka dia tahu’ - Adly yakin Ashraf Minghat mampu bela nasib rakyat Durian Tunggal

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 9 Nov - Pengalaman luas Datuk Ashraf Mukhlis Minghat dalam pentadbiran kerajaan negeri, termasuk menyelesaikan pelbagai masalah rakyat ketika berkhidmat sebagai Setiausaha Politik Ketua Menteri, menjadi antara kekuatan utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal itu.

Pengerusi PH Melaka, Datuk Seri Adly Zahari berkata, Ashraf bukan calon yang asing dengan selok-belok pentadbiran kerajaan kerana pernah menjadi individu penting yang membantu beliau menangani pelbagai isu rakyat ketika menerajui kerajaan negeri.

Menurutnya, banyak permasalahan yang tidak dapat diselesaikan secara langsung di peringkat Ketua Menteri ketika itu akan diserahkan kepada Ashraf untuk tindakan lanjut.

“Penyelesaian masalah ini biasanya Ketua Menteri kalau tak boleh, dia bagi setiausaha politik dulu selesaikan semua masalah-masalah.

“Jadi semua masalah Melaka sebenarnya dia tahu dan dia menyelesaikan banyak hal,” katanya ketika berucap mengenai pencalonan Ashraf di Durian Tunggal.

Adly berkata, Ashraf turut mempunyai latar belakang pendidikan yang kukuh sebagai graduan Universiti Al-Azhar dalam bidang pendidikan Islam, selain pernah berkhidmat sebagai guru di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Katanya, pengalaman Ashraf tidak terhad kepada bidang pendidikan apabila beliau turut berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan negeri, kementerian serta terlibat dengan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata, gabungan pengalaman itu menjadikan Ashraf seorang calon yang memahami sistem pentadbiran awam serta mempunyai kemampuan untuk membantu menyelesaikan masalah masyarakat.

Adly turut menyifatkan latar belakang pendidikan agama Ashraf sebagai antara asas penting yang membentuk nilai integriti dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab.

“Saya fikir dengan latar belakang pendidikan agama yang ada pada dia, kekuatan nilai dan integriti memang dia amalkan.

“Sebab itu saya beri dia kepercayaan untuk jadi setiausaha politik saya dan juga pegawai saya,” katanya.

Dalam pada itu, Adly menegaskan Ashraf mempunyai kelebihan sebagai anak jati Durian Tunggal yang memahami kehidupan serta keperluan penduduk setempat.

Menurutnya, pengalaman Ashraf menguruskan pusat khidmat Parlimen Alor Gajah turut memberikan pendedahan secara langsung terhadap permasalahan rakyat.

Beliau berkata, meskipun Ashraf pernah gagal dalam percubaan pertama bertanding dalam pilihan raya, pengalaman itu seharusnya menjadi asas untuk memberinya peluang sekali lagi berkhidmat kepada masyarakat.

“Ini adalah pertandingan dia kali kedua. Pengalaman pertama mungkin dia gagal, dan saya fikir dia harus diberikan peluang untuk dia berkhidmat di tempat kampung dia sendirilah.

“Dia anak jati Durian Tunggal, jadi dia faham denyut nadi orang Durian Tunggal, permasalahan orang Durian Tunggal. Saya harap dia diberikan peluang,” katanya. - Media Telus

+ - reset