TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar hulur bantuan tambahan RM2,500 kepada setiap ketua isi rumah mangsa banjir di Selangor

By
|
Kongsi
image

 

SHAH ALAM 9 Nov - Setiap ketua isi rumah yang layak dan terjejas akibat banjir di Selangor bakal menerima bantuan tunai tambahan khas sebanyak RM2,500 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pembayaran bantuan berkenaan dijangka bermula esok, 10 November, bagi membantu mangsa banjir menggantikan barangan keperluan rumah yang rosak atau musnah.

"Bantuan ini bertujuan meringankan beban mangsa bagi menggantikan barangan keperluan rumah yang rosak atau musnah akibat banjir, manakala kaedah pelaksanaan dan syarat kelayakan akan diumumkan oleh agensi pelaksana.

"Pada masa sama, Perdana Menteri turut mengarahkan supaya pelaksanaan projek tebatan banjir dipercepatkan bagi menangani kejadian banjir berulang," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Selangor terus meningkat apabila seramai 583 orang daripada 163 keluarga direkodkan berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 3.40 petang Isnin.

Berdasarkan maklumat Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), angka berkenaan menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 215 mangsa daripada 55 keluarga yang direkodkan pada sebelah pagi.

Kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS sekitar Kuala Selangor dengan jumlah tertinggi direkodkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Maharaja Lela, membabitkan 326 mangsa daripada 97 keluarga.

Seramai 154 mangsa daripada 36 keluarga pula berlindung di SK Parit Mahang, diikuti Sekolah Agama Batu 8 Ijok dengan 77 mangsa daripada 21 keluarga serta SK Jaya Setia yang menempatkan 26 mangsa daripada sembilan keluarga.

Daripada keseluruhan mangsa, 163 adalah lelaki dewasa, 184 perempuan dewasa, 224 kanak-kanak serta 12 bayi.

Turut direkodkan dalam kalangan mangsa ialah 56 warga emas dan 11 orang kurang upaya (OKU).

+ - reset