TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tragedi kepala air: Seorang ditemukan lemas, SAR tujuh lagi mangsa diteruskan di Sungai Pertak

By
|
Kongsi
image

KUALA KUBU BHARU 10 Nov - Seorang lelaki tempatan ditemukan lemas dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak, di sini, awal pagi tadi, manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan bagi mengesan tujuh lagi mangsa yang dilaporkan hilang.

Mayat mangsa ditemukan di kawasan Jambatan Pertak kira-kira jam 1.30 pagi selepas operasi pencarian dijalankan susulan kejadian petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar mengesahkan penemuan mangsa berkenaan dalam satu kenyataan pagi ini.

"Mangsa ditemukan di kawasan Jambatan Pertak jam 1.30 pagi," katanya.

Menurutnya, operasi SAR diteruskan pagi ini dengan kawasan pencarian dibahagikan kepada empat sektor bagi memperluas usaha mengesan mangsa yang masih hilang.

"Pencarian diteruskan dengan pecahan kepada empat sektor, iaitu Sektor A dari Lata Jebus ke Lubuk Pertak dan Sektor B dari Lubuk Pertak ke Jambatan Dam.

"Sektor C pula membabitkan kawasan Jambatan Dam, manakala Sektor D di kawasan empangan," katanya.

Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.55 petang semalam selepas kejadian kepala air melanda kawasan Sungai Pertak yang ketika itu dikunjungi beberapa kumpulan individu.

Maklumat awal mendapati seorang lelaki warga Yaman berusia 20 tahun dipercayai dihanyutkan arus ketika berkelah bersama empat individu lain yang kemudiannya disahkan terselamat.

Pihak bomba turut menerima laporan mengenai satu lagi kumpulan di Lata Jebus, dengan tujuh individu dipercayai dihanyutkan arus deras, manakala beberapa yang lain berjaya menyelamatkan diri atau terkandas.

Selain itu, pasukan penyelamat menerima maklumat mengenai beberapa individu yang terperangkap di Kem Sungai Luit dan Gunung Rajah susulan kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, seramai 19 mangsa yang terkandas berjaya dibawa turun dengan selamat pada jam 12.16 tengah malam tadi.

Sementara itu, pihak polis masih menjalankan proses mendapatkan maklumat lanjut bagi mengesahkan jumlah sebenar mangsa yang hilang dalam kejadian tersebut.

+ - reset