TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hadir konsert The Weeknd tidak semestinya syirik, namun digalak solat taubat - Mufti

By
|
Kongsi
image

 

GEORGETOWN 10 Nov - Umat Islam yang menghadiri konsert The Weeknd di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini tidak boleh sewenang-wenangnya dianggap melakukan syirik hanya kerana persembahan berkenaan didakwa mengandungi unsur ritual pemujaan.

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, penilaian hukum perlu mengambil kira sama ada seseorang sekadar hadir untuk menonton persembahan atau secara sedar menyertai dan menyokong ritual yang bertentangan dengan akidah Islam.

Bagaimanapun, beliau menyarankan umat Islam yang menghadiri konsert berkenaan supaya bermuhasabah, beristighfar dan menunaikan solat sunat taubat, khususnya jika mengetahui serta sengaja terbabit dalam perkara yang dilarang agama.

"Kehadiran seseorang semata-mata untuk menyaksikan persembahan hiburan tanpa mengetahui atau menyertai sebarang ritual pemujaan tidak menjadikan individu itu melakukan syirik atau terkeluar daripada Islam.

"Namun, bagi mereka (umat Islam) yang menghadiri konsert tersebut sangat digalakkan untuk bermuhasabah, beristighfar dan menunaikan solat sunat taubat. Bagi mereka yang benar-benar melakukan perkara yang diharamkan, taubat adalah wajib," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan konsert The Weeknd yang berlangsung pada 4 dan 5 November lalu mengandungi unsur persembahan bercanggah dengan akidah Islam.

Mohd Sukki menegaskan, umat Islam tidak seharusnya membuat kesimpulan bahawa semua pengunjung konsert terbabit melakukan syirik hanya berdasarkan dakwaan atau tafsiran terhadap persembahan pentas.

"Namun, sekiranya seseorang mengetahui wujudnya unsur pemujaan yang bertentangan dengan akidah Islam tetapi sengaja menyokong atau turut serta dalam perlakuan tersebut, maka perbuatannya adalah haram dan wajib ditinggalkan serta hendaklah bertaubat.

"Tahap kesalahan akidahnya bergantung pada bentuk penyertaan, niat dan kepercayaannya," katanya.

Menurutnya, individu yang benar-benar melakukan penyembahan terhadap selain Allah SWT secara sedar dan rela telah melakukan perbuatan syirik yang amat besar dosanya.

Sehubungan itu, mereka wajib segera bertaubat nasuha dengan meninggalkan perbuatan berkenaan, menyesal dan berazam tidak mengulanginya.

Dalam pada itu, Mohd Sukki meminta orang ramai memberikan ruang kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjalankan siasatan dan penelitian bagi menentukan kedudukan sebenar dakwaan tersebut berdasarkan fakta.

Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya lebih berhati-hati memilih bentuk hiburan, terutama persembahan yang menampilkan simbol atau mesej yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap pegangan akidah.

Katanya, kewajipan bertaubat bukan hanya terpakai kepada mereka yang menyertai ritual pemujaan, sebaliknya turut merangkumi individu yang sengaja terbabit dalam perbuatan maksiat ketika menghadiri konsert.

"Sekiranya sesuatu konsert membabitkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram tanpa menjaga batas syarak (ikhtilat yang diharamkan), pendedahan aurat, perlakuan tidak senonoh, pengambilan arak atau perbuatan maksiat yang lain, maka umat Islam yang sengaja terbabit dalam perkara tersebut wajib bertaubat kepada Allah SWT.

"Islam tidak mengharamkan hiburan secara mutlak, namun hiburan mestilah mematuhi garis panduan syarak dan tidak menjadi medan untuk melakukan maksiat.

"Justeru, umat Islam hendaklah menjauhi hiburan yang jelas mengandungi unsur kemungkaran, walaupun tidak membabitkan sebarang ritual pemujaan atau unsur syirik," katanya.

+ - reset