TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KPM terima 670 permohonan PIBG peruntukan baik pulih sekolah dalam tempoh seminggu

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 10 Nov - Sebanyak 670 permohonan peruntukan penyelenggaraan sekolah diterima Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Saluran Khas Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam tempoh hanya seminggu selepas dibuka.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, jumlah permohonan yang direkodkan setakat 9 November itu membabitkan PIBG daripada pelbagai jenis sekolah di seluruh negara.

Menurutnya, sambutan menggalakkan berkenaan membuktikan kesungguhan ibu bapa dan guru untuk bersama-sama memastikan kemudahan sekolah berada dalam keadaan baik, selesa dan kondusif bagi murid.

"Saya gembira melihat sambutan ini. Ia menunjukkan kesungguhan PIBG untuk bersama-sama membantu meningkatkan kemudahan dan persekitaran sekolah demi keselesaan anak-anak kita," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Fadhlina berkata, penglibatan aktif PIBG amat penting dalam membantu kementerian mengenal pasti keperluan penyelenggaraan dan penambahbaikan infrastruktur sekolah.

Sehubungan itu, beliau mahu PIBG terus memainkan peranan lebih besar sebagai rakan strategik KPM dalam memastikan setiap sekolah mempunyai persekitaran pembelajaran yang selamat dan selesa.

"Saya mahu PIBG memainkan peranan yang lebih besar sebagai rakan strategik KPM. Ibu bapa yang setiap hari menghantar anak ke sekolah juga mempunyai pandangan tentang perkara yang perlu diberikan perhatian," ujarnya.

Menurutnya, pandangan ibu bapa dan guru dapat membantu mengenal pasti aspek kemudahan sekolah yang memerlukan perhatian, khususnya perkara berkaitan keselesaan serta keperluan harian murid.

Dalam pada itu, Fadhlina mengingatkan PIBG yang masih belum mengemukakan permohonan supaya mengambil peluang menggunakan saluran khas berkenaan sebelum tarikh tutup pada 30 November ini.

Saluran Khas PIBG yang diperkenalkan KPM itu memberi ruang kepada persatuan berkenaan mengemukakan permohonan peruntukan penyelenggaraan berdasarkan keperluan sekolah masing-masing.

+ - reset