Berita Berita
Berisiko jadi mangsa scammer, pelajar cari tempat praktikal di media sosial dinasihat jangan dedah resume, maklumat peribadi
KUALA LUMPUR 10 Nov - Tindakan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) berkongsi resume secara terbuka di media sosial bagi mencari tempat latihan industri boleh mengundang risiko penipuan dan penyalahgunaan data peribadi.
Perkongsian maklumat seperti alamat rumah, nombor telefon dan butiran akademik dalam kumpulan Facebook awam bukan sahaja boleh diakses bakal majikan, malah turut membuka ruang kepada penjenayah siber untuk mengeksploitasi maklumat berkenaan.
Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Zubaile Abdullah berkata, risiko itu semakin membimbangkan apabila maklumat peribadi pelajar boleh disalin, disimpan dan disebarkan tanpa pengetahuan mereka.
Beliau yang juga Penyelidik Kanan di Centre for Cybersecurity and Data Intelligence (CCDI) UTHM berkata, pemadaman hantaran asal juga tidak menjamin maklumat berkenaan tidak lagi berada dalam simpanan pihak lain.
"Lebih membimbangkan, apabila maklumat ini digabungkan dengan nama penuh, institusi pengajian dan latar belakang akademik, penjenayah boleh menghasilkan penipuan yang lebih meyakinkan kerana sudah mengetahui butiran peribadi mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurutnya, antara ancaman utama ialah tawaran pekerjaan atau latihan industri palsu apabila penjenayah menyamar sebagai wakil syarikat atau pegawai sumber manusia untuk memperdaya pelajar.
Modus operandi berkenaan termasuk meminta bayaran pendaftaran, deposit latihan atau maklumat akaun bank dengan menggunakan identiti syarikat yang kelihatan meyakinkan.
Selain itu, maklumat dalam resume boleh digunakan untuk serangan pancingan data melalui e-mel atau WhatsApp palsu bagi mencuri kata laluan serta memasang perisian hasad pada peranti mangsa.
Sehubungan itu, Zubaile menyarankan pelajar menyediakan dua versi resume, iaitu versi ringkas untuk perkongsian di media sosial dan versi lengkap bagi permohonan melalui platform pencarian pekerjaan yang dipercayai seperti JobStreet dan Glassdoor.
Katanya, resume yang dikongsikan secara terbuka hanya perlu mengandungi nama, bidang pengajian, kemahiran, pengalaman serta jenis latihan industri atau pekerjaan yang dicari.
Maklumat sensitif seperti alamat kediaman penuh, nombor kad pengenalan dan tarikh lahir pula tidak sepatutnya didedahkan kepada umum.
"Dokumen peribadi yang lebih terperinci hanya wajar diberikan kepada bakal majikan yang telah disahkan menerusi e-mel rasmi atau saluran permohonan selamat,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa pihak IPT menyediakan garis panduan khusus mengenai keselamatan perkongsian resume dan perlindungan data peribadi, terutama kepada pelajar yang sedang membuat persediaan menjalani latihan industri.
Sementara itu, Profesor Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Zarina Shukur berkata, pendedahan maklumat peribadi secara terbuka bukan sahaja berisiko menyebabkan kerugian kewangan, malah boleh mengancam keselamatan pelajar dan keluarga.
"Penuntut perlu bersedia untuk berhadapan dengan penipuan sama ada yang berniat mendapatkan manfaat kewangan atau mengganggu kehidupan peribadi termasuk pihak yang menyamar sebagai majikan dengan pelbagai niat tidak baik,” ulasnya.
Menurut Zarina, pendedahan alamat rumah turut berpotensi membahayakan ahli keluarga yang tinggal bersama, manakala maklumat pensyarah yang dijadikan rujukan dalam resume juga boleh disalahgunakan.
Justeru, beliau menggalakkan pelajar mengenal pasti syarikat sasaran lebih awal dan mempromosikan kemahiran melalui platform profesional seperti LinkedIn, Upwork dan GitHub berbanding berkongsi maklumat peribadi secara meluas di media sosial.
Berita berkaitan
November 10, 2026, 1:18 pm
'Ibu di mana?' - Terpisah sejak pandemik Covid-19, kanak-kanak lapan tahun cari ibu kandung
November 10, 2026, 1:17 pm
Belum tiba masa rombakan Kabinet — Anwar
November 10, 2026, 1:04 pm
Cubaan curi kabel Laluan Putrajaya ketika perayaan gagal, Rapid KL berkas suspek
November 10, 2026, 12:39 pm
KPM terima 670 permohonan PIBG peruntukan baik pulih sekolah dalam tempoh seminggu
November 10, 2026, 12:11 pm
Budak dua tahun hilang ketika beriadah bersama keluarga ditemukan lemas di Dataran Sungai Jahang
November 10, 2026, 11:46 am
Kepala air Sungai Pertak: Empat lagi mangsa ditemukan, tiga masih hilang
November 10, 2026, 10:20 am
PRN Melaka: 12,531 anggota keselamatan, pasangan keluar mengundi awal hari ini
November 10, 2026, 10:00 am
Hadir konsert The Weeknd tidak semestinya syirik, namun digalak solat taubat - Mufti
November 10, 2026, 9:03 am
