TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu pengampunan Najib: Rujuk PM, jangan heret Istana dalam pertikaian politik — Onn Hafiz

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU, 12 Nov. – Sebarang kekeliruan atau persoalan berhubung pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hendaklah dirujuk kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukannya mengheret pihak Istana ke kancah pertikaian politik.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa pimpinan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), dan Majlis Peguam sepatutnya mendapatkan penjelasan daripada Anwar memandangkan beliau sendiri pernah memaklumkan di Dewan Rakyat pada 10 Disember 2024 bahawa beliaulah yang membawa kes pengampunan tersebut untuk dimasukkan ke dalam agenda.

Pengerusi UMNO Johor itu turut membidas tindakan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang didakwa mencetuskan hasutan dan kontroversi apabila mencadangkan persoalan mengenai keputusan pengampunan itu diajukan kepada pihak Istana.

Menurut Onn Hafiz, kuasa pengampunan merupakan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan telah melalui proses Lembaga Pengampunan yang turut dianggotai wakil Kerajaan Persekutuan serta Peguam Negara.

Beliau mengingatkan bahawa Yang di-Pertuan Agong sendiri telah menitahkan bahawa perintah berkenaan adalah jelas, justeru sebarang tindakan mempertikaikannya adalah sama seperti mengingkari titah Baginda.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini mencadangkan agar semua banduan diberi peluang menjalani separuh tempoh hukuman menerusi tahanan rumah, manakala Majlis Peguam pula memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar pelaksanaan tahanan rumah Najib atas alasan tidak berperlembagaan.

Onn Hafiz menegaskan bahawa kebiadaban dan penderhakaan terhadap institusi Raja tidak boleh dinormalisasikan serta mengingatkan semua pihak supaya berpegang kepada prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset