TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tahanan rumah Najib bukan hukuman dua darjat, orang miskin juga ada hak sama – Saifuddin

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 12 Nov – Kerajaan menolak dakwaan bahawa pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan satu bentuk layanan istimewa atau hukuman dua darjat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, setiap banduan tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang mempunyai hak yang sama untuk mengemukakan petisyen pengampunan mengikut peruntukan undang-undang negara.

Menurutnya, peluang mendapatkan pertimbangan daripada lembaga pengampunan bukan hanya diberikan kepada individu berpengaruh atau golongan berada, sebaliknya terbuka kepada semua banduan yang memenuhi syarat ditetapkan.

"Ini hak semua orang, sama ada orang kaya, miskin, kecil atau besar. Ini undang-undang sebut begitu dan negara ini negara hukum," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung dakwaan bahawa pelaksanaan perintah tahanan rumah terhadap Najib mencerminkan wujudnya hukuman dua darjat dalam sistem keadilan negara.

Saifuddin menjelaskan, mana-mana banduan boleh mengemukakan petisyen kepada lembaga pengampunan selepas melalui keseluruhan proses pengadilan yang ditetapkan.

Katanya, sebarang keputusan berkaitan permohonan pengampunan adalah tertakluk kepada pertimbangan lembaga pengampunan mengikut kerangka undang-undang sedia ada.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib tidak seharusnya dianggap sebagai bukti wujudnya layanan berbeza dalam sistem perundangan negara.

+ - reset