TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia nafi sokong tindakan ketenteraan China ke atas Taiwan — PM

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR, 12 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan bahawa Malaysia menyokong sebarang tindakan ketenteraan China terhadap Taiwan, sambil menegaskan kerajaan kekal berpegang teguh kepada Dasar Satu China dan penyelesaian secara aman yang diamalkan sejak tahun 1974.

Beliau menjelaskan bahawa kenyataannya dalam sesi wawancara bersama Al Jazeera sebelum ini tidak pernah membawa maksud negara bersetuju sekiranya Beijing menggunakan kekerasan ketenteraan terhadap Taiwan seperti yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menerusi sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, Anwar menegaskan bahawa Malaysia menyokong penyelesaian secara damai melalui rundingan serta berpegang kepada prinsip tidak campur tangan dalam urusan dasar domestik negara lain.

Terdahulu, Hamzah (PN-Larut) mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri mengenai isu Taiwan yang didakwa mencetuskan ketegangan diplomatik selain membangkitkan kebimbangan terhadap kesannya kepada ekonomi negara, termasuk penyusutan pasaran saham hampir 10 peratus pada bulan ini.

Mengulas dakwaan kemerosotan pasaran saham tersebut, Anwar menjelaskan bahawa penyusutan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), kecerdasan buatan (AI), serta pusat data merupakan fenomena sementara yang turut dialami beberapa negara lain akibat faktor global, termasuk perkembangan semasa membabitkan syarikat teknologi Nvidia.

Beliau menegaskan bahawa prestasi pasaran tempatan masih terkawal berbanding beberapa negara serantau dan menafikan pendirian diplomatik Malaysia mengenai Dasar Satu China telah mengeruhkan hubungan perdagangan negara. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset