Berita Berita
Belum habis 2026, KESUMA puji prestasi cemerlang, komitmen berterusan PERKESO - Ramanan
KUALA LUMPUR 12 Nov - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerima pujian daripada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan susulan prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan agensi itu sepanjang tahun ini, meskipun 2026 masih belum melabuhkan tirainya.
Ramanan berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) amat berpuas hati dengan pencapaian PERKESO yang disifatkan berada pada tahap membanggakan hasil usaha dan komitmen berterusan agensi berkenaan.
Menurutnya, prestasi positif itu mencerminkan kesungguhan PERKESO dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai agensi di bawah kementerian.
“Kita semua daripada Kementerian Sumber Manusia juga sangat berpuas hati dengan prestasi PERKESO.
“Belum lagi habis tahun tetapi pencapaiannya sudah sangat baik. Kita telah mencapai tahap yang membanggakan. Saya akan mengemukakan laporan terperinci kepada pihak media nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Media PERKESO I Lindung You 2026 yang turut diraikan bersama sambutan Deepavali dan warga media, malam tadi.
Dalam pada itu, Ramanan turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas kerjasama erat yang diberikan kepada PERKESO sepanjang tahun ini.
Beliau menyifatkan hubungan baik antara pihak media dengan PERKESO sebagai sesuatu yang amat dihargai, khususnya dalam membantu menyampaikan maklumat berkaitan agensi berkenaan kepada masyarakat.
“Saya sangat berterima kasih atas kerjasama pihak media dengan PERKESO,” katanya.
Ramanan turut memaklumkan kehadirannya bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia pada majlis berkenaan bertujuan meluangkan masa serta mengeratkan hubungan dengan pengamal media.
Majlis berkenaan turut menjadi platform menghargai peranan pengamal media selain memperkukuh hubungan kerjasama antara PERKESO dengan organisasi media dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perlindungan keselamatan sosial. - Media Telus
Berita berkaitan
November 12, 2026, 2:29 pm
BSN perkasa sekolah lahirkan Safawi Rasid, naik taraf gimnasium demi pelapis atlet negara
November 12, 2026, 2:18 pm
BN-PN sasar menang 25 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka — Ab Rauf
November 12, 2026, 2:13 pm
Malaysia nafi sokong tindakan ketenteraan China ke atas Taiwan — PM
November 12, 2026, 2:10 pm
Bayaran pencen Najib dihentikan, kemudahan lain masih kekal — Saifuddin
November 12, 2026, 2:06 pm
Tahanan rumah: Najib dibenar tinggal bersama keluarga, dilarang sertai aktiviti politik — Saifuddin
November 12, 2026, 1:04 pm
Tahanan rumah Najib bukan hukuman dua darjat, orang miskin juga ada hak sama – Saifuddin
November 12, 2026, 11:46 am
Najib dibenar tinggal serumah bersama keluarga, guna telefon - Saifuddin
November 12, 2026, 10:44 am
16,230 peranti digital percuma diagih kepada 257 sekolah sejak 2022 — Fadhlina
November 12, 2026, 10:37 am
