TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Najib dibenar tinggal serumah bersama keluarga, guna telefon - Saifuddin

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 12 Nov – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibenarkan tinggal bersama isteri, anak, menantu dan cucunya sepanjang menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah.

Bagaimanapun, Najib tidak dibenarkan menerima pelawat, menggunakan telefon yang tidak berdaftar atau terlibat dalam sebarang kegiatan politik sepanjang tempoh berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ketetapan itu merupakan antara syarat yang dikenakan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menerusi perintah pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri berkenaan.

Menurutnya, terdapat empat kategori syarat utama yang perlu dipatuhi Najib, merangkumi sekatan tempat tinggal dan pergaulan, pergerakan dan lawatan, penggunaan telefon serta peranti telekomunikasi, selain kewajipan mengikuti program pemulihan dan intervensi.

“Beliau tidak dibenarkan tinggal bersama sesiapa selain ahli keluarganya, termasuk isteri, anak, menantu dan cucu, kecuali mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu.

“Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sudah menetapkan siapa yang dibenarkan tinggal bersamanya. Individu lain perlu mendapatkan kebenaran bertulis,” katanya ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat.

Saifuddin menjelaskan, Najib juga tidak dibenarkan menerima sebarang pelawat tanpa memperoleh kebenaran bertulis terlebih dahulu.

Selain itu, bekas Presiden UMNO berkenaan hanya dibenarkan menggunakan telefon atau peranti telekomunikasi yang telah didaftarkan dengan Jabatan Penjara.

Najib turut dilarang mengeluarkan kenyataan kepada media, membuat kemunculan di platform media sosial, menghadiri sebarang majlis awam atau mengambil bahagian dalam aktiviti politik.

Dalam pada itu, Saifuddin menegaskan bahawa syarat berkenaan bukan diwujudkan khusus terhadap Najib, sebaliknya turut dijadikan panduan bagi mengendalikan kes tahanan rumah yang seumpamanya pada masa hadapan.

Katanya, Jabatan Penjara juga mempunyai kuasa di bawah Akta Penjara untuk mengenakan syarat tambahan bagi memastikan aspek kawalan dan pengawasan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Untuk rekod, Najib mula menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah pada 10 November lalu.

Tempoh hukuman bekas Ahli Parlimen Pekan itu dijadualkan berakhir pada 23 Ogos 2028.

+ - reset