Berita Berita
Bom meletup di Thailand, rakyat Malaysia dinasihat berhati-hati rentas sempadan Perlis
KANGAR 12 Nov – Rakyat Malaysia khususnya pelancong dan usahawan yang merancang memasuki Thailand melalui pintu sempadan Perlis dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan susulan beberapa siri letupan bom di selatan negara jiran itu.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, nasihat itu dikeluarkan susulan kejadian letupan bom di Wilayah Satun, semalam, yang mengakibatkan tiga pelajar sekolah cedera termasuk seorang parah.
Menurutnya, kerajaan negeri masih menunggu laporan rasmi daripada pihak keselamatan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai situasi semasa di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai mendapatkan maklumat dan nasihat keselamatan terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke negara jiran bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
"Saya menasihati mana-mana usahawan kita atau pelancong dari Malaysia yang masuk ke Thailand melalui Perlis supaya mendapatkan nasihat daripada unit keselamatan terlebih dulu berhubung sebarang perkembangan di sempadan.
"Paling penting, pelancong yang ingin merentasi sempadan ke negara jiran wajib mematuhi sepenuhnya syarat serta peraturan ditetapkan pihak berkuasa, terutamanya penggunaan dokumen perjalanan sah seperti pas sempadan atau pasport antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Pelan Pembangunan Peneraju Perlis Progresif 2030 yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Elissa Garden Hall, di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan tiga pelajar sekolah cedera selepas sebuah bom yang dipercayai dipasang berhampiran tiang elektrik di kawasan Ban Khiriwong, Satun meletup kira-kira jam 7 pagi semalam.
Ketua Polis Bahagian Ke-9 Thailand, Leftenan Jeneral Polis Piyawat Chalermsi dilaporkan berkata, letupan itu mengenai sebuah van yang sedang membawa lebih 10 pelajar sekolah.
Selain Satun, beberapa siri serangan bom turut dilaporkan berlaku di Wilayah Yala dan Songkhla sejak kelmarin.
Di Yala, sebanyak lapan kejadian pengeboman dan pembakaran dilaporkan berlaku di lima daerah dengan menyasarkan pejabat pentadbiran tempatan, kenderaan kerajaan serta kemudahan awam.
Susulan perkembangan itu, pelancong Malaysia yang merancang perjalanan ke selatan Thailand digesa sentiasa mengikuti perkembangan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang berada di kawasan berkenaan.
Berita berkaitan
November 12, 2026, 4:17 pm
Tangan polis putus ditetak berjaya disambung semula selepas pembedahan lapan jam di HKL
November 12, 2026, 2:29 pm
BSN perkasa sekolah lahirkan Safawi Rasid, naik taraf gimnasium demi pelapis atlet negara
November 12, 2026, 2:18 pm
BN-PN sasar menang 25 daripada 28 kerusi pada PRN Melaka — Ab Rauf
November 12, 2026, 2:13 pm
Malaysia nafi sokong tindakan ketenteraan China ke atas Taiwan — PM
November 12, 2026, 2:10 pm
Bayaran pencen Najib dihentikan, kemudahan lain masih kekal — Saifuddin
November 12, 2026, 2:06 pm
Tahanan rumah: Najib dibenar tinggal bersama keluarga, dilarang sertai aktiviti politik — Saifuddin
November 12, 2026, 1:04 pm
Tahanan rumah Najib bukan hukuman dua darjat, orang miskin juga ada hak sama – Saifuddin
November 12, 2026, 11:46 am
Najib dibenar tinggal serumah bersama keluarga, guna telefon - Saifuddin
November 12, 2026, 11:33 am
