TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tangan polis putus ditetak berjaya disambung semula selepas pembedahan lapan jam di HKL

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 12 Nov – Hospital Kuala Lumpur (HKL) berjaya menyambung semula pergelangan tangan kanan seorang anggota polis yang terputus akibat ditetak lelaki warga asing bersenjatakan parang dalam kejadian di Desa Amanpuri, Kepong, semalam.

Anggota terbabit, Lans Koperal Thierry Rodger anak Fendy, 26, menjalani pembedahan rumit selama lapan jam yang dikendalikan pasukan pakar perubatan HKL.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pembedahan berkenaan dilaksanakan pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri HKL yang diketuai Dr Allan Ravi Rajagopal dan Dr Aziz Sabbir Husain.

Menurutnya, prosedur itu memerlukan ketelitian tinggi termasuk penggunaan mikroskop pembedahan bagi memastikan anggota yang terputus dapat disambung semula dengan jayanya.

Katanya, kejayaan pembedahan berkenaan turut disumbangkan kerjasama pasukan Neurosurgeri HKL yang bertanggungjawab merawat kecederaan di bahagian kepala mangsa.

“Dedikasi luar biasa dalam mengendalikan kes kecemasan mikrosurgeri yang sangat kompleks ini amat membanggakan negara.

“Ia sekali gus membuktikan kualiti perkhidmatan perubatan pelbagai disiplin (multidisiplin) di fasiliti kesihatan awam kita berada pada tahap yang cemerlang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Dzulkefly turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan pakar bedah, doktor, jururawat dan petugas kesihatan HKL yang bertungkus-lumus menyelamatkan anggota polis berkenaan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited memastikan Thierry terus menerima rawatan rapi dan menyeluruh bagi membantu memulihkan fungsi tangan kanannya ke tahap optimum.

Dalam masa sama, beliau menyifatkan keberanian dan pengorbanan anggota polis itu ketika menjalankan tugas mempertahankan keselamatan awam sebagai sesuatu yang amat dihargai rakyat Malaysia.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam Rabu, Thierry yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengalami kecederaan parah selepas diserang seorang lelaki warga asing menggunakan dua bilah parang di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong.

Insiden itu turut menyebabkan beberapa anggota bomba dan petugas KKM mengalami kecederaan.

Suspek kemudian melarikan diri sebelum berjaya dikesan berhampiran sebuah taman permainan kira-kira jam 8 malam.

Bagaimanapun, lelaki terbabit sekali lagi bertindak agresif dengan menyerang anggota polis menggunakan parang ketika cubaan menahannya.

Keadaan itu memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri.

Suspek disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

+ - reset