TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita gagal selamatkan suami jatuh kolam kumbahan, kedua-duanya ditemui maut berpelukan

By
|
Kongsi
image

PAPAR 12 Nov – Hasrat seorang isteri menyelamatkan suaminya yang dipercayai tergelincir ke dalam kolam kumbahan berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya ditemukan meninggal dunia dalam keadaan berpelukan di Kampung Kawari, di sini, hari ini.

Pasangan suami isteri warga Indonesia masing-masing berusia 52 dan 50 tahun itu merupakan pekerja di sebuah kandang ternakan babi di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan kedua-dua mangsa kira-kira jam 11.56 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis Papar bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta membantu mengeluarkan mangsa dari kolam berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa adalah pasangan suami isteri warga Indonesia yang bekerja di kandang ternakan berkenaan.

"Siasatan awal mendapati mangsa lelaki dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ke dalam kolam kumbahan, manakala isterinya dipercayai cuba membantu tetapi turut terjatuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Heryan berkata, pihak polis masih menyiasat keadaan sebenar yang membawa kepada kematian pasangan terbabit.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Beliau memaklumkan, kes berkenaan setakat ini diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) selepas pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang petunjuk yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca serta keadaan sebenar kejadian.

"Orang ramai khususnya mereka yang bekerja berhampiran kolam kumbahan atau kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini," katanya.

+ - reset