Berita Berita
Persoalan netizen terjawab, Najib solat Jumaat di Penjara Kajang
KUALA LUMPUR 13 Nov – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kembali ke Penjara Kajang, hari ini, bagi menunaikan solat Jumaat selepas tiga hari menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta.
Perkara itu disahkan Jabatan Penjara Malaysia ketika dihubungi media, sekali gus menjadikan ia solat Jumaat pertama Najib sejak dibenarkan menjalani tahanan rumah pada Selasa lalu.
Terdahulu, kenderaan jenis Proton X70 yang membawa bekas Ahli Parlimen Pekan itu dilihat meninggalkan kediamannya kira-kira jam 10.30 pagi.
Pergerakan Najib turut diiringi beberapa kenderaan Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Semalam, anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin Najib memaklumkan bahawa bapanya akan menunaikan solat Jumaat di Penjara Kajang mengikut prosedur yang ditetapkan pihak penjara.
Pada Selasa lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas mengetepikan perintah pelepasan terdahulu dan menggantikannya dengan perintah baharu selaras dengan pengampunan bersyarat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong.
Susulan keputusan berkenaan, Najib, 73, dibawa pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta dan tiba kira-kira jam 9.27 malam pada Selasa lalu bagi memulakan pelaksanaan tahanan rumah tersebut.
Berita berkaitan
November 14, 2026, 1:38 am
Ibu ditemukan maut dipercayai dijerut anak sendiri di Banting
November 13, 2026, 10:33 pm
Pijak al-Quran gara-gara berang dikritik netizen, Vikneswaran dipenjara 12 bulan, denda RM250,000
November 13, 2026, 10:04 pm
‘Macam ambil wuduk sebelum solat, ahli Pas wajib undi calon BN, PN’ – Hadi Awang
November 13, 2026, 7:41 pm
UMNO beri DAP empat pilihan, bubar Parlimen jika kerjasama politik berakhir
November 13, 2026, 6:47 pm
Anggota polis ditetak di Kepong tunjuk perkembangan positif, sudah mampu gerakkan jari — Fahmi
November 13, 2026, 6:40 pm
RoS tidak pernah luluskan pendaftaran pertubuhan berkaitan komuniti Rohingya
November 13, 2026, 6:33 pm
JPN Pulau Pinang siasat dakwaan pelajar Tingkatan Lima ditampar guru hingga enggan duduki SPM
November 13, 2026, 6:28 pm
