Berita Berita
‘Shopping raya dah tak kalut, tarawih pun tak tinggal’ - Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya 2027 bakal sedia kemudahan ibadah, berbuka dan sahur
KUALA LUMPUR 13 Nov – Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya (ABGR) 2027 bakal menawarkan pengalaman membeli-belah Aidilfitri yang lebih menyeluruh apabila pengunjung bukan sahaja boleh mendapatkan kelengkapan raya, malah turut disediakan kemudahan menunaikan solat tarawih, berbuka puasa dan bersahur di lokasi sama.
Pengurus besar My Events International, Dailan Muhammad Ravi berkata, konsep pusat sehenti yang diketengahkan sejak penganjuran terdahulu itu akan terus diperkasakan dengan pelbagai penambahbaikan bagi memastikan keselesaan pengunjung sepanjang festival berlangsung.
Menurutnya, berbeza dengan kebanyakan bazar raya yang dianjurkan di kawasan terbuka, ABGR menawarkan pengalaman membeli-belah dalam dewan konvensyen yang lebih selesa dan terlindung daripada keadaan cuaca tidak menentu.
“Bagi kami, sejak tahun pertama hingga tahun kelima, setiap tahun ada elemen baharu yang kami bawakan.
“Kalau acara raya lain mungkin berlangsung di luar, tetapi ABGR diadakan dalam dewan konvensyen. Kita jadikan ia sebagai pusat sehenti yang membolehkan pengunjung membeli-belah, menunaikan solat tarawih, berbuka puasa dan bersahur di satu tempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis pengumuman penganjuran ABGR 2027 dan pengenalan acara baharu, Tapestry by ABGR: Singgah Raya, baru-baru ini.
Dailan berkata, pihak penganjur turut menyediakan imam atau ustaz bagi memimpin solat tarawih sepanjang tempoh penganjuran, selain ruang makan khusus untuk pengunjung berbuka puasa dan bersahur.
Katanya, kemudahan untuk keluarga juga diberikan perhatian, termasuk penyediaan ruang rehat bagi ibu bapa yang membawa anak kecil.
“Kita faham ada keluarga yang datang bersama anak-anak. Biasanya golongan wanita lebih gemar mengambil masa untuk membeli-belah, jadi kita sediakan ruang supaya suami boleh berehat sambil menjaga anak-anak,” katanya.
Menurutnya, ruang santai di tingkat dua dan tiga Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) turut dibuka bagi membolehkan pengunjung berehat bersama keluarga, termasuk membawa tikar untuk bersantai.
Selain itu, pihak penganjur turut menyediakan dewan permainan kanak-kanak yang akan diperluaskan pada edisi akan datang bagi menampung kehadiran lebih ramai pengunjung.
Dailan berkata, setiap penambahbaikan dibuat berdasarkan maklum balas pengunjung dan peniaga, termasuk aspek keselesaan, kemudahan keluarga serta perlindungan daripada cuaca hujan.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan pengenalan Tapestry by ABGR: Singgah Raya di The Arch Galeries bertujuan membuka peluang kepada lebih ramai usahawan, khususnya peniaga baharu yang tidak berpeluang menyertai ABGR sebelum ini.
Menurutnya, sambutan tinggi daripada vendor setiap tahun menyebabkan pihak penganjur berdepan kekangan ruang, terutama apabila ramai peniaga sedia ada terus menyertai festival berkenaan sejak edisi pertama.
“Setiap tahun kita menerima permintaan daripada vendor yang mahu menyertai ABGR, tetapi ada yang tidak dapat diterima kerana kekangan ruang.
“Jadi, tercetusnya idea Tapestry ini untuk memberi peluang kepada vendor baharu menggunakan kekuatan jenama ABGR sebagai platform memasarkan produk mereka kepada orang ramai,” katanya.
Beliau menjelaskan, kedua-dua acara itu mempunyai pendekatan berbeza dengan ABGR lebih tertumpu kepada pasaran massa yang menghimpunkan kira-kira 800 hingga 900 reruai daripada pelbagai kategori perniagaan.
Sebaliknya, Tapestry by ABGR: Singgah Raya menawarkan konsep lebih santai dan berskala kecil, khususnya untuk usahawan yang baru menceburi perniagaan sempena musim perayaan.
“ABGR lebih kepada pasaran massa, tetapi Tapestry lebih santai. Kita mahu memberi peluang kepada vendor baharu untuk berniaga dan memperkenalkan produk mereka.
“Pengunjung Tapestry juga lebih kepada mereka yang datang membeli-belah dan kemudian bergerak ke tempat lain, berbanding ABGR yang menyediakan pelbagai kemudahan untuk pengunjung berada lebih lama di lokasi,” jelasnya.
Mengulas sasaran kehadiran pengunjung, Dailan berkata, cabaran utama penganjur bukan sekadar menarik orang ramai ke festival, sebaliknya memastikan kehadiran pembeli yang benar-benar mampu berbelanja dan memberikan pulangan kepada peniaga.
Katanya, kerjasama dengan penyedia perkhidmatan pembayaran seperti Atome turut membuka peluang kepada pengunjung daripada pelbagai latar belakang pendapatan untuk mendapatkan kelengkapan Aidilfitri.
Beliau berkata, kemudahan pembayaran secara ansuran itu boleh membantu pengguna yang belum menerima gaji atau bonus raya untuk merancang pembelian mengikut kemampuan masing-masing.
“Bagi vendor, mereka bukan hanya perlukan pengunjung yang ramai, tetapi pengunjung yang boleh berbelanja.
“Dengan adanya platform seperti Atome, mereka yang belum menerima gaji atau bonus raya juga mempunyai pilihan untuk membuat pembelian secara ansuran,” katanya.
Tambahnya, pihak penganjur mahu memastikan festival berkenaan kekal inklusif dan boleh dikunjungi semua lapisan masyarakat tanpa mengira kemampuan kewangan.
ABGR 2027 dijadualkan berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur dari 19 hingga 22 Februari depan selama 66 jam tanpa henti, sebelum diperluaskan buat pertama kali ke Kuantan, Pahang pada 5 hingga 7 Mac.
Sementara itu, Tapestry by ABGR: Singgah Raya akan berlangsung dari 26 hingga 28 Februari 2027 di The Arch Galeries dengan konsep pembelian dan penyertaan vendor yang berbeza daripada festival utama. - Media Telus
Berita berkaitan
November 14, 2026, 1:38 am
Ibu ditemukan maut dipercayai dijerut anak sendiri di Banting
November 13, 2026, 10:33 pm
Pijak al-Quran gara-gara berang dikritik netizen, Vikneswaran dipenjara 12 bulan, denda RM250,000
November 13, 2026, 10:04 pm
‘Macam ambil wuduk sebelum solat, ahli Pas wajib undi calon BN, PN’ – Hadi Awang
November 13, 2026, 7:41 pm
UMNO beri DAP empat pilihan, bubar Parlimen jika kerjasama politik berakhir
November 13, 2026, 6:47 pm
Anggota polis ditetak di Kepong tunjuk perkembangan positif, sudah mampu gerakkan jari — Fahmi
November 13, 2026, 6:40 pm
RoS tidak pernah luluskan pendaftaran pertubuhan berkaitan komuniti Rohingya
November 13, 2026, 6:33 pm
JPN Pulau Pinang siasat dakwaan pelajar Tingkatan Lima ditampar guru hingga enggan duduki SPM
November 13, 2026, 6:28 pm
Anak perempuan MB Kedah dirawat di ICU akibat kemalangan, mungkin terlepas peperiksaan SPM
November 13, 2026, 6:12 pm
