TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anggota polis ditetak di Kepong tunjuk perkembangan positif, sudah mampu gerakkan jari — Fahmi

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA, 13 Nov. – Anggota polis yang parah selepas ditetak seorang lelaki warga asing dalam insiden di Kepong kelmarin, kini menunjukkan perkembangan pemulihan positif apabila sudah berupaya menggerakkan beberapa jari pada tangan kanannya yang disambung semula.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkembangan terkini itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas pembedahan penyambungan semula anggota badan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berjaya dilaksanakan selama tujuh jam.

Bercakap pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, beliau memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan serius terhadap aspek keselamatan anggota penguat kuasa susulan serangan ganas tersebut.

Menurut Fahmi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi jaminan bahawa prosedur operasi standard (SOP) sedia ada membenarkan anggota polis mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan diri sentiasa menjadi keutamaan ketika menjalankan operasi.

Dalam kejadian kelmarin, mangsa dilaporkan putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang suspek lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong.

Suspek yang bertindak melarikan diri kemudiannya berjaya dikesan berhampiran sebuah taman permainan sebelum ditembak mati oleh pihak polis selepas sekali lagi cuba menyerang anggota keselamatan menggunakan parang ketika proses penahanan dilakukan. — Media Telus

Boleh follow media sosial Media Telus di Facebook, Instagram, TikTok, Threads dan Youtube

+ - reset